Mahasiswa UM, TARUC, UTAR tolak kuliah fizikal secara paksa

 





Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Tunku Abdul Rahman University College (TARUC) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) semalam menyuarakan bantahan dan menolak kehadiran kuliah fizikal secara paksa.



Menurut Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Wan Afiq Ikhwan Wan Alias (gambar, tiga dari kanan), pemaksaan hadir kuliah fizikal secara itu amat bertentangan dengan amalan sebelum ini yang mana pihak universiti menjalankan kuliah secara hibrid.



"Semesta kedua UM bermula pada 14 Mac. Sebelum ini beberapa fakulti telah mengadakan kuliah secara hibrid manakala fakulti lain seperti undang undang, perniagaan perakaunan, sastera dan sains sosial mengadakan kuliah dalam kelas sepenuhnya. Namun pada minggu akademik kedua dibuat pengumuman mengejut bahawa kelas fizikal akan dijalankan



"Pengumuman ini membuat pelajar terkedu. Berdasarkan tinjauan mahasiswa UM, 80% responden tidak membuat perancangan berkenaan perubahan ini disebab oleh kekangan kewangan, masalah kesihatan dan pelan pembelajaran.



"Secara kebetulan TARUC dan UTAR juga menerima pengumuman peperiksaan akhir dibuat secara fizikal tanpa pengecualian.



"Majlis perwakilan pelajar telah menyatakan kebimbangan kepada pihak pengurusan universiti, juga beri bukti ketidakpuasan hati pelajar terhadap pemeriksaan fizikal dan keperluan mereka menduduki peperiksaan dalam talian telah dinyatakan secara perbincangan. Malangnya mereka memekak telinga dan peperiksaan fizikal masih dijalankan," katanya.



Menurut Wan Afiq, organisasi pelajar enggan menerima cadangan tersebut kerana beberapa faktor antaranya ketidakcukupan penginapan.



Tegas beliau, penginapan di UM tidak mampu menampung 80% mahasiswa di kolej kediaman. Lebih 20% mahasiswa terpaksa duduk sekitar 10 kilometer dari UM.



"Dalam masa sama pelajar TARUC, dan UTAR telah dipaksa selama beberapa minggu merentas negeri demi peperiksaan fizikal tetapi tiada penginapan ditawarkan kepada mereka.



"Keputusan pulang kampus ini juga tidak mengabilkira pelajar yang bakal menamatkan pengajian selepas semesta ini.



"Tidak realistik mereka mencari penginapan yang membenarkan sewa setengah semesta atas nama peperiksaan akhir," katanya.



Selain itu, kata beliau, universiti juga tidak dapat menawarkan SOP berkesan untuk mengurangkan penularan Covid 19.



Katanya pelajar yang dijangkiti Covid akan ketinggalan dalam pembelajaran mereka kerana tiada kelas dalam talian.



Justeru, persatuan persatuan pelajar itu merayu agar kuliah dijalan secara hibrid seperti sebelum ini. Pelajar hadir ke kuliah secara fizikal secara sukarela.



"Kami juga menyarankan pihak universiti menjalankan sepenuhnya peperiksaan akhir dalam talian bagi semesta ini dan memastikan SOP lebih komprehensif bagi mahasiswa dan mahasiswi dalam kampus



"Pelajar adalah pemegang taruh utama universiti. Oleh itu pihak berkenaan perlu mengambil kira pendapat pelajar sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan mereka," katanya lagi.

 

No comments: