Mahkamah benar injunksi mareva ex-parte, Najib boleh keluar wang RM100 ribu sahaja



Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah injunksi Mareva ex-parte kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bagi membekukan aset bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar beliau tidak boleh mencairkan asetnya berikutan tuntutan syarikat itu terhadap dana AS$681 juta yang didakwa disalurkan ke akaun peribadi Najib.

Pesuruhjaya Kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad semalam membenarkan permohonan ex-parte yang terpakai di seluruh dunia itu.

Dengan itu, Najib hanya dibenarkan mengeluarkan dana RM100,000 sebulan daripada akaun banknya untuk perbelanjaan.

Menurut laporan The Edge lagi, Najib perlu membuat permohonan kepada peguam cara 1MDB jika dia perlu mengeluarkan wang lebih daripada RM100,000.

Sebelum ini, 1MDB dan subsidiarinya membuat permohonan ex-parte berikutan sabitan terhadap Najib dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd yang mana Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah menetapkan 21 Februari ini bagi mendengar hujah pihak Najib jika beliau memutuskan untuk mengetepikan injunksi berkenaan.

Permohonan Injunksi dibuat oleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Ltd (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investment Ltd atau 1MDBGIL), serta tiga lagi unitnya menerusi firma guaman Messrs Skrine.

1MDB dan bekas subsidiarinya, SRC International Sdn Bhd memfailkan saman RM23 bilion terhadap Najib dan beberapa lagi yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan syarikat

 

No comments: