PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar memberi kebenaran mengadakan ceramah kecil-kecilan di tempat terbuka sebagai antara kelonggaran SOP menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, negara bakal memasuki fasa endemik Covid-19 dan rakyat perlu mula belajar menjalankan aktiviti hampir sama seperti sebelum pandemik.
“Bagaimanapun, isunya adalah mereka yang belum atau enggan mengambil vaksin akan terus berisiko terhadap jangkitan.
“Segala SOP termasuk penjarakan fizikal dan tidak bersentuhan perlu diamalkan, manakala ceramah secara kecil-kecilan di tempat terbuka berbanding di ruang tertutup seperti dewan atau balai raya patut dibenarkan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Katanya, kelonggaran itu mungkin sekurang-kurangnya membabitkan program tinjauan mesra supaya calon dapat bertemu pengundi di kedai dan pasar, selain berpeluang memperkenalkan diri kepada pengundi muda, susulan pelaksanaan Undi18 buat kali pertama pada PRN ini.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berpendapat, SPR tidak akan mengumumkan SOP itu lebih awal seperti yang diminta parti politik.
“Saya sudah berhenti berharap mengenai hal ini. Selain itu, saya melihat tempoh kempen 14 hari bagi PRN Johor tidak mencukupi.
“Lebih baik SPR memberi lebih masa kerana banyak aktiviti kempen membabitkan pengundi sudah tidak relevan dalam konteks pandemik,” katanya.
Terdahulu, SPR menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dan penamaan calon pada 26 Feb, sekali gus menyaksikan tempoh berkempen selama 14 hari.
SPR bagaimanapun belum mengumumkan SOP bagi PRN itu.