Kos sara hidup di Johor melambung, rakyat tidak tertanggung - Hassan Karim


 

Kos sara hidup yang melambung sejak kebelakangan ini tidak mengecualikan bangsa Johor.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, harga ayam di pasar yang mencecah RM9 sekilogram dan bekalan ayam di kebanyakan tempat di Johor yang terputus amat menyukarkan kehidupan

"Telur ayam di setengah tempat juga sudah kehabisan.

"Ini adalah contoh mudah yang dapat dilihat kegagalan Kerajaan memerintah sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri Johor.

"Apabila ayam, sejenis makanan popular di kalangan rakyat yang membekalkan protein dengan harga relatif murah sekitar RM5 sekilo sebelum ini mencanak naik hampir 100%, apakah maknanya dari segi ekonomi?

"Ia bermakna kos sara hidup rakyat sudah semakin mahal. Bukan harga ayam sahaja yang naik tetapi banyak lagi barang makanan dan keperluan harian melambung. Sudah tentu ia membebankan rakyat miskin dan susah," katanya.

Menurut Hassan lagi, inflasi berupa kenaikan harga itu amat berkaitan dengan rasuah dan penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan.

Katanya, kes rasuah menyebabkan banyak dana yang boleh diguna untuk menstabilkan harga pergi ke akaun para kroni sementara pelabur asing lari memburukkan keadaan ekonomi

"Berbilion ringgit wang negara lesap setiap tahun angkara rasuah. Kes di mahkamah membuktikan segelintir pemimpin tertinggi Umno BN melakukan perbuatan itu dengan menyalahgunakan kuasa dan dijatuhkan hukum penjara berbelas tahun.

"Akibat rasuah para pelabur lari meninggalkan Malaysia. Nilai ringgit jatuh menjunam sehingga negara terpaksa membayar kos import yang tinggi termasuk dalam membeli dedak makanan ayam dari luar negara. Itu antara punca harga ayam mahal sekarang," katanya.

Sehubungan itu, tegas Hassan, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh bangsa Johor selain mengubah kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini agar gelombang kebangkitan itu akan merobah Kerajaan Persekutuan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) beberapa bulan kelak.

"Rakyat Johor dan pengundi Johor yang telah menolak Umno BN dalam PRU tahun 2018 lalu perlu melakukan hal yang sama dalam PRN Johor kali ini.

"Kembalikan kuasa dan mandat rakyat dalam PRN Johor dengan menyokong KEADILAN dan Pakatan Harapan," katanya lagi.

 

No comments: