Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa bertindak lebih efektif
melaksanakan kempen galakan agar rakyat keluar mengundi dalam Pilihan Raya
Negeri (PRN) Johor.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perak, Farhash
Wafa Salvador, SPR perlu meningkatkan peratusan keluar mengundi yang hanya
sekitar 60% dalam PRN Melaka dan Sarawak sebelum ini.
"SPR perlu bertanggungjawab meningkatkan kesedaran dalam kalangan
pengundi, serta memberi jaminan terhadap keselamatan mereka mengharungi
penularan wabak Covid-19.
"Begitu juga peranan media arus perdana pada PRN Johor kali
ini wajar diberi perhatian, kerana ia melibatkan pengundi muda baharu yang
terdiri daripada mereka berumur 18 hingga 21 tahun yang lebih mesra terhadap
teknologi terkini," kata Farhash .
Beliau juga menggesa SPR memainkan peranan dalam memudahkan proses
pendaftarandan pengundian undi pos serta memberi ruang sewajarnya kepada semua
calon untuk menyantuni masyarakat setempat.
Katanya, suruhanjaya itu perlu meneliti Prosedur Operasi Piawai
(SOP) yang dibincangkan melibatkan semua pihak terlibat termasuk parti
pembangkang dalam masa terdekat.
"Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi
jaminan PRN Johor akan berjalan seperti biasa biarpun peningkatan jangkitan
gelombang Omicron, namun ianya masih dalam keadaan terkawal dan tidak
menunjukkan kesan yang teruk jika dibandingkan dengan varian Delta berdasarkan
kajian.
"Walaupun Profesor Madya Dr Malina Osman, Pakar Kesihatan
Awam Universiti Putra Malaysia mengatakan SOP pada PRN Sarawak boleh dijadikan
contoh terbaik dari segi pelaksanaan kempen di peringkat lapangan, namun pada
masa sama usaha untuk mendidik rakyat bagi pengambilan dos penggalak perlu
diperhebatkan," katanya lagi.
Justeru, Farhash berharap tidak kontroversi mengenai SOP dua
darjat yang sering diperkatakan pada PRN Johor kali ini bagi meningkatkan
keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap amalan sistem demokrasi negara.