Adakah Muhyiddin sudah buat laporan berhubung isu campur tangan kehakiman? – Gobind

 

Oleh Gobind Singh Deo

(Ahli Parlimen Puchong)

Adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat laporan polis atau SPRM berhubung dakwaan beliau bahawa ada pihak tertentu telah mendesak beliau mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah semasa beliau menjadi Perdana Menteri?

Tan Sri Muhyiddin juga berkata beliau tidak melayan tuntutan mereka itu.

Seksyen 25 (1) Akta SPRM menyatakan “Mana-mana orang yang diberi, dijanjikan, atau ditawarkan, apa-apa suapan dengan melanggar mana-mana peruntukan Akta ini hendaklah melaporkan pemberian, janji atau tawaran itu, berserta dengan nama, jika diketahui, orang yang memberikan, menjanjikan atau menawarkan suapan itu kepadanya kepada pegawai Suruhanjaya atau pegawai polis yang paling hampir.”

Seksyen 25 (2) kemudiannya menyatakan “Mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya”

Suapan ditakrifkan secara meluas dalam seksyen 3 di dalam Akta termasuk bantuan pelbagai jenis dan seksyen 23 membuat peruntukkan untuk kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.

Bukankah, daripada perkara di atas dan daripada apa yang telah dikatakan oleh beliau, suatu laporan perlu dibuat berhubung perkara tersebut sepertimana dinyatakan didalam seksyen 25(1) Akta SPRM?

Dakwaan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin adalah dakwaan yang serius. Dakwaan tersebut telah disiarkan dan disebarkan secara meluas oleh akhbar. Ia adalah perkara yang mempunyai kepentingan awam dan mesti ditangani mengikut undang-undang.

Jadi, saya menyeru Tan Sri untuk memberikan respons di atas perihal ini. Adakah beliau sudah membuat laporan dan jika sudah, adakah dia menyatakan nama mereka yang didakwa telah membuat desakan itu?

Jika beliau tidak melakukannya, maka beliau harus menjelaskan mengapa tidak.

No comments: