Golongan tanpa kerakyatan perlu campurtangan PM
Golongan tanpa kerakyatan atau stateless bukanlah masalah baharu di Malaysia.
Masalah tersebut sering terjadi akibat ibu bapa asal tidak dapat dikenalpasti atau anak angkat yang mana ibu asal bukan warganegara dan status bapa pula tidak diketahui.
Menurut Koordinator Biro Kewarganegaraan KEADILAN, A. Kumaresan, kes Rohana Abdullah, 22 tahun yang tular baru-baru ini hanyalah cebisan daripada masalah kes kes kewarganegaraan di negara ini
“Sebagai Koordinator Biro Kewarganegaraan KEADILAN banyak kes yang telah saya sendiri lalui. Ada di antara mereka menghadapi kesukaran untuk mendaftar di sekolah berikutan berdepan masalah kewarganegaraan.
“Status tanpa kerakyatan ini bukan saja menyukarkan individu tersebut namun juga ibu bapa atau penjaga angkat mereka. Mereka perlu berulang alik beberapa tahun ke Pejabat Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat permohonan mendapatkan status kewarganegaraan.
“Melalui pengalaman saya kes-kes sebegini selalunya dikategorikan dalam Perkara 15A di mana, Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa penuh untuk meluluskan permohonan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, tambah Kumaresan, kebanyakkan kes seperti itu selalunya ditolak kerana pemohon tidak dapat mengemukakan beberapa dokumen yang diperlukan oleh JPN.
“Juga terlalu banyak birokrasi ketika permohonan dan menyukarkan lagi keadaan
“Saya sangat berharap, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memberikan komitmen beliau untuk membantu kes-kes seumpama ini supaya mereka dapat ditawarkan bantuan mendapatkan kerakyatan,” katanya lagi.