“AKTA SC SEPERTI HARIMAU TIDAK BERTARING”

 

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tidak dapat memastikan secara muktamad Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki telah melakukan pelanggaran di bawah seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) selepas memulakan siasatan pada 6 Januari 2022.

Bagaimanakah SC boleh melaksanakan kewajipan berkanunnya jika SC tidak dapat mengesahkan bahawa Azam telah melanggar Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) sedangkan Azam secara jelas dan terbuka mengakui bahawa dia telah membenarkan adiknya menjalankan dagangan saham secara proksi?

Dalam kenyataan mereka hari ini, SC tidak mendedahkan sama ada adik Azam mempunyai akaun dagangan saham pada masa yang sama, dan jika ada, terdapat keperluan untuk dagangan saham secara proksi serta sumber dana untuk pembelian itu.

Melainkan SC boleh bertindak terhadap Azam, Seksyen 25(4) SICDA kini menjadi seperti harimau tidak bertaring dan tidak berguna lagi.

Kesan kepada pasaran modal Malaysia bukan setakat kehilangan keyakinan pelabur tetapi juga meletakkan SC serta penubuhannya dalam kedudukan yang meragukan, sama ada SC mampu melaksanakan tugas undang-undangnya tanpa rasa takut atau pilih kasih.

LIM GUAN ENG

Setiausaha Agung DAP.

No comments: