Taktik menggodam nombor telefon bimbit para calon Pakatan Harapan
(PH) dan wakil calon merupakan hal jijik yang mewarnai hari-hari terakhir
kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut Ketua Unit Perundangan Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) KEADILAN, Manivanan Gowin, taktik tersebut dikesan dilakukan ke atas beberapa nombor telefon calon PH semalam.
"Kami di peringkat jawatankuasa induk PRN Melaka telah menerima tiga laporan mengatakan telofon bimbit calon dan wakil calon telah digodam
"Dalam kejadian yang berlaku semalam lebih kurang jam 5 petang, kami dimaklum telefon bimbit calon DUN Klebang, Datuk Gue Teck, calon Rim Prasant Kumar dan pengarah PRN DUN Ayer Molek, Wan Mahadi Wan Husin telah digodam. Calon di Ayer Molek ialah Mohd Rafee Ibrahim
"Ketiga mangsa hanya mengetahui kejadian tersebut apabila ditegur oleh penerima mesej. Beberapa penerima mesej dari masyarakat Cina telah menerangkan mereka menerima mesej sekiranya penerima mesej itu tidak mengundi PH maka gambar peribadi isteri mereka akan diviralkan. Ketiga mangsa telah membuat laporan polis.
"Saya juga difahamkan calon Klebang berbeza sikit, mesej berkaitan kena bayar hutang dan sebagainya," kata Manivanan dalam sidang media sebentar tadi.
Menurut beliau lagi, pihak calon PH telah membuat laporan polis ke atas penggodaman tersebut.
Bagi pihak PH pula, tambah Manivanan, satu siasatan lengkap perlulah dilakukan oleh polis dan SKMM berhubung jenayah berkenaan yang bertujuan untuk menjauhkan pengundi Cina dari PH.
"Ini merupakan satu perbuatan menjijikkan. Kami tidak pasti mesej ini dari siapa tetapi semestinya dari pesaing PH.
"Kami memohon pihak polis membuka kertas siasatan dan lakukan siasatan menyeluruh. Kami juga memohon SKMM melakukan siasatan bersama dan mengambil tindakan segera.
"Insiden ini adalah untuk menjauhkan pengundi Cina dengan PH. Kami juga meramalkan insiden jijik seperti ini akan berleluasa hari ini dan esok.
"Kami amat berharap pengundi warga Melaka boleh membaca tindakan jijik dan hina pesaing PH ini. Kami menyeru semua warga Melaka keluar mengundi dan memberi sokongan yang padu esok," katanya lagi.