PARTI ABAHKAU AKAN MENUNGGING DI MELAKA

 


Mas Ermieyati pilihan baik tapi tak cukup untuk PN menang, kata penganalisis




Imej PN mungkin lebih baik sekiranya pengumuman calon Ketua Menteri Melaka dibuat lebih awal, menurut penganalisis. (Gambar Bernama)

AYER KEROH: Penganalisis melihat keputusan Perikatan Nasional (PN) memilih Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka sebagai langkah sia-sia dalam usaha mengubah nasib gabungan itu dalam pilihan raya negeri (PRN) esok.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura dan Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) memberitahu FMT bahawa mereka percaya PN akan kalah walaupun pemilihan Mas yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan ahli Bersatu sebagai calon terbaik.

Mereka berkata, sesetengah pengundi mungkin menyukai tanggapan bahawa mereka boleh memainkan peranan untuk memilih Ketua Menteri wanita pertama di Malaysia tetapi undi yang diberikan mungkin tidak cukup untuk memberi kemenangan kepada PN.

Oh berkata, Bersatu sendiri tidak “berupaya untuk mendapat banyak undi”.

Oh Ei Sun.

Katanya, imej PN mungkin lebih baik sekiranya pengumuman itu dibuat lebih awal.

“PN sepatutnya mengumumkannya lebih awal kerana ia mungkin membantu gabungan itu mendapat undi daripada pengundi atas pagar di kawasan bandar dan separuh bandar,” katanya.

“Kini mereka sudah terlambat.”

Fauzi berkata, Mas adalah pilihan yang baik dengan mengambil kira rekodnya sebagai timbalan menteri.

Katanya, terdapat lebih banyak sebab untuk pengundi di Tanjung Bidara menyokong beliau dalam pertandingan menentang Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh, yang didakwa menjadi “dalang” di belakang pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

“Ia mungkin memberi sebahagian undi BN kepada PN,” katanya.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

“Keputusan untuk meletakkan calon wanita adalah pilihan baharu untuk Melaka secara keseluruhannya.

“Ini adalah langkah terbaik PN setakat ini menjelang hari penting walaupun saya tidak beranggapan ia cukup untuk menghalang kekalahan PN.”

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengumumkan pemilihan Mas semalam. Seorang lagi saingannya ialah Ketua PN Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen.

Pihak lawan mengkritik PN kerana keenganan gabungan itu menamakan calonnya dan ada yang membuat spekulasi bahawa ia disebabkan kebimbangan perkara itu akan mengundang keretakan dalam Bersatu.