Disahkan akhirnya di Parlimen oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tentang permohonan Najib Razak untuk mendapatkan kediaman bernilai RM100 juta baginya atas kedudukannya sebagai bekas Perdana Menteri.
Tengku Zafrul berkata, permohonan itu dibuat selepas Belanjawan 2022 dibentangkan, baru-baru ini.
“Jika terdapat sebarang dana tambahan, ia akan ditambah bawah peruntukan tambahan,” ujar Tengku Zafrul lagi.
Beliau seterusnya berkata, permohonan itu di bawah Jabatan Perdana Menteri dan sebarang pertanyaan di Parlimen akan dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Isu permohonan rumah kediaman oleh Najib itu kemudian menimbulkan perdebatan hangat di kalangan Ahli-Ahli Parlimen memandangkan bekas Perdana Menteri itu sudah dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah atas sabitan pecah amanah, menyalahguna kedudukan dan penggubahan wang haram dana SRC International.
Beliau dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, tetapi kesnya kini sedang menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Dengan pengesahan berkaitan permohonan Najib itu, kerajaan ditempelak kerana seolah-olah bermurah hati menyediakan sebuah kediaman mewah untuk seorang yang telah dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah.
Persoalan utama di sini, walaupun mungkin ada peruntukan untuk kerajaan menyediakan sebuah kediaman untuk Najib sebagai bekas Perdana Menteri bagi mengenang jasa serta sumbangannya, apakah peruntukannya memang setinggi RM100 juta?
Jika begitu, apakah Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi sebelum ini juga diperuntukkan kediaman bernilai RM100 juta setiap seorang?
Andai kata kediaman yang diberi kepada Tun Mahathir dan Tun Abdullah tidak sampai RM100 juta, mengapa pula Najib memohon kediaman setinggi nilai RM100 juta?
Begitu pun, sekiranya memang hak beliau diberikan kediaman sebegitu sebagai bekas Perdana Menteri, Najib dalam hal ini sekurang-kurangnya telah melakukan tiga salah besar yang cukup ketara.
Pertama, kenapa beliau memohon kediaman itu ketika kedudukannya sudah dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah?
Mengapa beliau tidak menunggu untuk memohonnya sehingga kes rayuannya selesai di Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan?
Dalam apa keadaan sekali pun, tindakan Najib membuat permohonan sedemikian dalam keadaan dirinya sudah dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah adalah tidak kena sama sekali.
Bagaimana jika selepas ini, baik di Mahkamah Rayuan atau di Mahkamah Persekutuan, hukuman bersalah keatasnya terus kekal dan akhirnya ke penjara?
Adakah kediaman itu akan terus diberikan kepadanya atau ditarik balik?
Jika pencen sebagai Perdana Menteri, menteri atau penjawat awam boleh hilang jika seseorang itu dihukum penjara atau didenda pada kadar yang tertentu, apa pula statusnya untuk sebuah kediaman mewah bagi mereka yang menerima hukuman sama?
Sebab itu, paling sesuai bagi Najib ialah membuat permohonan berkenaan kediaman itu hanya setelah beliau benar-benar bebas daripada sebarang sabitan bersalah atau pertuduhan di mahkamah.
Kenapa mesti permohonan dibuat sekarang dan tidak menunggu selesai proses di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan?
Kedua, mengapa Najib mengemukakan permohonan mendapatkan kediaman itu hanya setelah Ismail Sabri Yaakob, seorang pemimpin UMNO berjaya menduduki kerusi Perdana Menteri?
Kalau benar perkara itu merupakan haknya yang mesti diberikan oleh kerajaan, kenapa Najib tidak memohonnya ketika Tun Mahathir dan Mahiaddin Md Yasin memegang jawatan Perdana Menteri sebelum ini?
Ternampak di mata umum bahawa tindakan Najib ini tidak lebih sebagai cubaannya menuntut balasan daripada Ismail Sabri atas sokongannya kepada Naib Presiden UMNO itu menjadi Perdana Menteri.
Namun demikian, tidakkah Najib sedar bahawa tindakannya ini secara tidak langsung telah meletakkan beban dan menyusahkan Ismail Sabri?
Ketiga dan paling teruk sekali, bersama hujah pertama dan kedua di atas, tindakan Najib memohon kediaman mewah ini dengan sendirinya menjadikan beliau tidak layak lagi dipanggil pemimpin berjiwa rakyat dan selalu mengutamakan kepentingan rakyat sebagaimana kerap diakui dan dilaungkan oleh para penyokongnya.
Mengapa dalam keadaan dirinya sudah dijatuhi hukuman bersalah serta kedudukan kewangan negara yang tenat, ditambah dengan beban wabak Covid19 yang telah memberi kesan kepada semua rakyat, tetapi beliau masih tergamak memohon sebuah kediaman peribadi daripada dana rakyat bernilai RM100 juta untuk sisa-sisa hari tuanya?
Tidak simpatikah Najib kepada ramai rakyat yang sedang susah, tiada kerja, tiada pendapatan, bahkan hilang pekerjaan?
Soalnya, apa yang Najib harus lakukan sekarang?
Tiada pilihan lain dalam hal ini, di samping kempen PRN Melaka sedang menuju garisan akhir, Najib mesti menarik balik permohonan dan membatalkan hasratnya memiliki kediaman mewah itu.
Sebaiknya beliau harus menunggu sehingga semua proses rayuan dan perbicaraannya selesai barulah soal kepentingan peribadi seperti memiliki kediaman mewah ini menjadi pertimbangannya.
Lagi pun, takkan Najib sekarang ini tiada rumah langsung dan hanya duduk menyewa saja? – ShahbudinHusin 18/11/2021