PH boleh menang jika kadar keluar mengundi lebih 80 peratus, kata Ilham Centre

 


Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON / November 19, 2021

Firma penyelidikan Ilham Centre menjangkakan kemenangan buat Pakatan Harapan (PH) di Melaka jika kadar keluar mengundi melebihi 80 peratus.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar berkata, dengan hitungan mudah, PH mempunyai peluang memenangi Melaka sekiranya momentum PRU-14 kembali berulang dengan peratusan keluar mengundi yang tinggi.

Dengan itu katanya, PH akan menerima undi Melayu yang signifikan serta limpahan pengundi Cina yang maksima.

“Dua faktor PH berpeluang untuk menang iaitu peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus dan PN berupaya memecahkan dominasi undi Melayu yang dimiliki oleh BN.

“Jika dua situasi ini tidak berlaku, maka BN berupaya tampil sebagai pemenang,” katanya dalam Laporan Ringkasan Pola Pengundian dan Prediksi Pilihan Raya Negeri Melaka 2021.

Selain Hisomuddin, laporan turut disediakan oleh panel penyelidikan Ilham Centre yang terdiri daripada Pengarah Eksekutif, Hisommudin Bakar; Ketua Operasi, Mohd Azlan Zainal;  Ketua Analitik, Mohd Jalaluddin Hashim; Fello Penyelidik Prof Madya Dr Yusri Ibrahim dan Felo Penyelidik, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid.

Menurut laporan itu juga, PH akan berjaya memperoleh 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan majoriti tipis membentuk kerajaan.

Namun seandainya hilang mana-mana faktor di atas, sukar buat PH untuk mengulangi pencapaian terbaik mereka.

Sementara itu, Ilham Centre mengenalpasti 11 kawasan yang sangat selesa untuk dimenangi Barisan Nasional (BN) iaitu Ayer Limau, Serkam, Taboh Naning, Ayer Molek, Sungai Rambai, Sungai Udang, Lendu, Kuala Linggi, Telok Mas, Merlimau dan Rim.





Adly menunjukkan sikap penuh keyakinan ketika ditemubual oleh Utusan.

Manakala PH pula selesa di tujuh kerusi iaitu Bukit Katil, Paya Rumput, Duyong, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

Bagaimanapun terdapat 10 kawasan yang sukar dibuat bacaan tepat disebabkan persaingan sengit antara calon, kata firma tersebut.

10 kawasan itu ialah Asahan, Kelebang, Tanjong Bidara, Pantai Kundor, Durian Tunggal, Machap Jaya, Rembia, Pengkalan Batu, Bemban dan Gadek.

“PH perlu mempertahankan kawasan yang dimenangi mereka dahulu agar tidak terlepas kepada BN mahupun PN.

“BN perlu mencari sekurang-kurangnya 4 DUN tambahan daripada 10 kawasan panas ini untuk melengkapkan majoriti mudah bagi memimpin Melaka.

“PN pula mempunyai peluang untuk membuat kejutan di Tanjong Bidara, Rembia dan Bemban. Faktor kebolehmenangan PN di kawasan ini adalah faktor calon yang berjaya mengimbangi kekuatan calon BN ataupun PH,” katanya lagi.

Hasil kajian juga mendapati bahawa semakin besar PN mencuri undi Melayu di 10 kawasan tersebut, semakin tinggi peluang kemenangan PH di atas faktor pertembungan 3 penjuru.

No comments: