Oleh: Redzuan Shamsudin
Analisis: Hari ini merupakan hari terakhir parti-parti
yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berkempen.
Bagaimanapun berbanding pilihan raya yang lain, arah sokongan telah boleh dijangka dan pemenang boleh diramal beberapa hari sebelum mengundi, PRN kali ini kelihatan sukar.
Ramalan awam yang biasa dibuat berdasarkan banyaknya orang menghadiri ceramah umum atau berdasarkan mood pengundi yang ditemui rumah ke rumah tidak lagi boleh dilakukan.
Begitu juga corak kempen di tempat tumpuan umum tidak mungkin berlaku dengan Prosedur Operasi Piawai yang ketat.
Ramalan agensi tinjauan
sokongan
Namun agensi tinjauan pendapat masih melakukan beberapa kajian dan
mengeluarkan fakta-fakta yang dijangka menghampiri keputusan sebenar pada malam
esok.
Antaranya CEO Ilham Centre, Hisomudin Bakar sebagaimana dilaporkan oleh Sinar Harian menyebut Umno mungkin mengekalkan 13 kerusi yang mereka menangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dan berupaya mendapat beberapa kerusi lagi termasuk milik KEADILAN seperti di DUN Klebang dan Rembia. Dasar ramalan yang dilakukan Hisomudin adalah pemboleh ubah pengundi luar yang tidak pulang sebagaimana PRU ke 14 lalu dan faktor pengundi Cina yang mungkin tidak sebanyak PRU 14 membuang undi.
Bagaimanapun jentera PH di beberapa kawasan yang diramal jatuh tersebut menafikan hal itu boleh berlaku.
Menurut seorang pemerhati yang rapat dengan jentera kempen KEADILAN, Zulkifly Othman, faktor keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi Cina di Klebang atau Rembia tidak mungkin berlaku.
Katanya, di kedua-dua kawasan jentera telah mendekati pengundi Cina sejak minggu pertama kempen, begitu juga pengundi Melayu. Malah katanya media seperti akhbar berbahasa Cina juga telah melaporkan situasi yang positif di kawasan berkenaan.
Begitu juga jentera DAP, katanya, yang berhempas pulas menghantar risalah beberapa kali rumah ke rumah pengundi di sana. Kubu KEADILAN katanya tidak akan robek.
Di kawasan lain yang berpotensi untuk menang seperti DUN Paya Rumput walaupun jentera kurang ampuh kerana kawasan kubu BN sejak sekian lama namun pengundi perlu berubah, terutama Melayu sub bandar. Terlalu banyak masalah daripada kemudahan awam, peparitan, capaian internet dan sebagainya yang tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan BN.
Perubahan perlu dilakukan walau dengan berat hati demi menyelesaikan masalah yang tidak mungkin selesai sekiranya BN dibenarkan terus memerintah.
Jangkaan positif
Cuma dalam 24 jam terakhir terdapat ramalan positif daripada
culaan yang dibuat oleh agensi tertentu yang menyebut Pengerusi Pakatan Harapan
Melaka Adly Zahari berpotensi kembali sebagai Ketua Menteri berdasarkan
kemenangan tipis PH ke atas BN dan PN.
Khabar ini perlu digunakan untuk melonjakkan sokongan pengundi Cina dan Melayu bandar serta sub bandar. Untuk KEADILAN, pengundi Cina dan Melayu sub bandar di taman-taman perumahan di DUN Machap Jaya, Klebang, Rembia, Asahan dan Paya Rumput perlu memastikan mereka keluar mengundi dan memangkah PH.
Sekiranya Amanah kali ini menang 4 kerusi dan DAP bertahan di 7 kerusi maka 20 November akan menguntungkan rakyat Melaka apabila tawaran-tawaran komprehensif dijanjikan PH akan dilaksanakan untuk 5 tahun akan datang.
Kepada jentera PH, PRN kali ini sekiranya berjaya menumbangkan BN yang angkuh menggunakan media arus perdana berkempen dalam siaran-siaran berita dan slot khas maka ia akan menjadi permulaan kepada goyangnya sekutu BN iaitu Gabungan Parti Sarawak dalam PRN pertengahan Disember ini.
Rakyat Sarawak biasanya akan mengikuti perkembangan di Semenanjung. Parti yang bertaring di Malaysia Barat akan diraikan di Malaysia Timur.
Jika berlaku keruntuhan BN di Melaka dan kegoyahan di Sarawak maka gelombang tsunami akan menunggu PRU 15 untuk membenamkan BN sekali lagi dan PN juga akan turut hanyut dirempuh badai yang sama.
______________________________________________________________________________
Artikel ini disediakan oleh
pengarang berita Suara Keadilan berdasarkan situasi kempen di beberapa DUN yang
sempat ditinjau dan mendapat maklum balas