Aset RM100 juta untuk Najib: PM penakut lindungi kepentingan rakyat

 


Oleh FAZLI RADZI / November 19, 2021

AMANAH berpendapat tindakan Kabinet diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluluskan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara sebagai tidak masuk akal dan melampau.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, parti itu senada dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk menolak pemberian rumah dan tanah hasil wang rakyat kepada Ahli Parlimen Pekan tersebut.

“Tambahan pula wujud percanggahan apabila Najib mendakwa beliau membuat permohonan mendapatkan wang tersebut pada tahun 2018, manakala Menteri Kewangan memaklumkan secara rasmi bahawa permohonan dikemukakan hanya selepas pembentangan Belanjawan 2022 di Parlimen,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, tidak seperti Perdana Menteri terdahulu; Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussien, Tun Hussien Onn dan lain-lain hidup dengan pencen dan wang imbuhan yang kecil.

“Tunku Abdul Rahman yang besar jasanya, tidak memperolehi wang pencen yang mencukupi, beliau menjadi kolumnis di akhbar The Star dengan bayaran imbuhan yang kecil.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, tidak seperti Perdana Menteri terdahulu; Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussien, Tun Hussien Onn dan lain-lain hidup dengan pencen dan wang imbuhan yang kecil.

“Tunku Abdul Rahman yang besar jasanya, tidak memperolehi wang pencen yang mencukupi, beliau menjadi kolumnis di akhbar The Star dengan bayaran imbuhan yang kecil.

“Mantan-mantan Perdana Menteri ini tidak pernah mencuri harta rakyat semasa menjadi PM, mereka tidak pernah didakwa atau dijatuhkan hukuman di atas perlakuan jenayah.

“Berlainan dengan kes Najib di mana beliau telah didapati bersalah oleh Mahkamah dan telah pun dihukum penjara. Beliau hanya menunggu rayuan di atas hukuman jenayah yang telah beliau lakukan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, adalah tidak munasabah bagi seorang seperti Najib hendak diberi imbuhan RM100 juta sedangkan jenayah yang dilakukannya amat besar.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada Najib Razak untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

Bercakap semasa sesi penggulungan di Dewan Rakyat, Tengku Zafrul bagaimanapun, berkata, maklumat berkaitan rumah dan hartanah bernilai RM100 juta itu tidak dimasukkan ke dalam Belanjawan 2022 kerana permohonannya dibuat selepas pembentangan.

Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan Malaysia menanggung hutang 1MDB yang amat besar akibat kecuaian Najib.

“Pada tahun 2019, Menteri Kewangan ketika itu mendedahkan bahawa skandal kewangan dan penyelewengan kerajaan terdahulu sama ada berkaitan 1MDB atau bukan, dianggar membabitkan kira-kira RM150 bilion.

“Kes 1MDB sahaja membabitkan RM51 bilion termasuk faedah yang hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada 2039.

“Bayangkan betapa besar impak jumlah RM13.9 bilion yang perlu dibelanjakan sejak 2017 hingga 2020 untuk membiayai kerugian skandal 1MDB dan SRC di bawah pentadbiran Najib.

“Justeru kita hairan mengapa seorang yang digelar banduan oleh mantan PM, Tun Dr Mahathir dianugerahkan dengan dana milik rakyat? Ini tindakan yang tidak logik.

“Maka kita tegaskan, walaupun kita mempunyai MoU dengan Ismail Sabri, Pakatan Harapan tetap akan menolak penganugerahan ini kerana kita mendapati, PM terlalu lemah dan penakut serta tidak berani untuk melindungi kepentingan rakyat,” kata Mohamad lagi.