TERBAIK...JANGAN BAYAR WALAU SATU SEN


 

Kami tak akan bayar apa-apa, Putrajaya juga usah layan tuntutan Sanusi, kata Chow





Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata pihaknya juga tidak mahu Putrajaya melayan tuntutan Muhammad Sanusi Md Nor dan meneruskan pembayaran RM10 juta setahun seperti sebelum ini.

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang tidak akan melayan tuntutan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berhubung bayaran pajakan tanah kepada negeri itu yang dinaikkan kepada RM100 juta setahun.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya juga tidak mahu Putrajaya melayan tuntutan Sanusi dan meneruskan pembayaran RM10 juta setahun seperti sebelum ini.

Putrajaya membuat bayaran tahunan itu kepada Kedah bagi pihak kerajaan Pulau Pinang selama ini untuk pajakan tanah di bahagian pulau dan Seberang Perai.

“Kerajaan Pulau Pinang tidak akan membayar apa-apa kepada Kedah. Kerajaan persekutuan juga tidak perlu melayan apa-apa tuntutan yang luar daripada perjanjian dan persetujuan sedia ada,” kata Chow.

Tengah hari tadi, Sanusi memberitahu media bahawa bayaran RM10 juta itu harus dikaji semula.

“Pemberian khas daripada kerajaan persekutuan berkaitan pajakan Pulau Pinang bermula 2018 adalah RM10 juta.

“Kita mohon bayaran royalti Pulau Pinang ini disemak dan dikaji semula mengikut nilai semasa dan tuntutan kita adalah RM100 juta,” katanya.

Beliau menyifatkan RM100 juta itu “sedikit sahaja” bagi kerajaan persekutuan, namun buat Kedah, bayaran itu cukup besar untuk pembangunan ekonomi negeri.

Bagaimanapun, Sanusi tidak menyatakan sebarang tindakan yang bakal diambil jika tuntutan kerajaan negeri tidak dipenuhi.