PAS PERTIKAI KEPUTUSAN GUNA LAMBANG PN DI PRN MELAKA?

 

Saya meneliti keputusan Mesyuarat Perikatan Nasional (PN) malam semalam yang memutuskan PN termasuk juga PAS akan mengguna lambang PN dalam PRN Melaka akan datang.

Sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, saya menghormati keputusan yang telah dibuat, bagaimanapun saya menyarankan supaya keputusan tersebut hendaklah dikembalikan kepada parti masing-masing untuk parti-parti tersebut membuat keputusan bersetuju atau tidak dengan apa yang Mesyuarat PN telah putuskan.

PAS sebagai sebuah parti yang mempunyai badan pembuat keputusan perlu diberi peluang untuk membincangkan keputusan penggunaan lambang PN tersebut, apatah lagi perkara penggunaan lambang dalam pilihanraya termasuk dalam Fasal 81 Perlembagaan PAS:

Adapun Lambang atau Simbol PAS untuk Pilihanraya ialah bulatan putih dengan berlatar belakang warna hijau, dan dalam keadaan tertentu latar belakang boleh juga digunakan warna hitam dengan memakai ukuran 3 X 4 iaitu 3 lintang dan 4 bujur, atau apa-apa simbol yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan diluluskan oleh Pendaftaran Pertubuhan serta Suruhanjaya Pilihanraya.

Jelas berdasarkan fasal tersebut, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merupakan badan pemutus bagi pihak PAS berkaitan dengan penggunaan lambang dalam pilihanraya, justeru keputusan Mesyuarat PN perlu dikembali kepada PAS sebelum ia dimuktamadkan.

Lebih daripada itu pada pemerhatian saya, penggunaan lambang dalam pilihanraya adalah berkaitan perkara prinsip dalam PAS yang perlu dibincangkan hukumnya oleh Majlis Syura Ulama (MSU), disebabkan ia berkaitan dengan Amal Islami yang dilakukan oleh ahli-ahli parti.

Perkara seumpama ini pernah timbul dalam satu konvensyen Pakatan Rakyat (PR) kira-kira 10 tahun yang lalu, diadakan di Tropicana, Petaling Jaya.

Konvensyen bersetuju supaya parti-parti komponen PR mengguna satu lambang (iaitu setelah PR didaftarkan) bagi menghadapi Pilihanraya Umum.

Pada ketika itu, seorang wakil PAS, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (mewakili MSU) bangun dan menyarankan: “kami PAS minta tempoh untuk putuskan perkara ini”.

Kata Ustaz Abdul Halim lagi: “Perkara ini perlu dibawa ke dalam MSU kerana bagi ahli-ahli PAS mereka diberi panduan, bahawa bekerja dalam sesuatu pilihanraya tidak terpisah dari bebanan taklif yang ada justifikasi dosa dan pahala”.

Dengan pengertian lain, penggunaan sesuatu lambang bukan hanya perkara berkaitan strategi tetapi juga berkaitan dengan prinsip.

Mekanisme yang sama turut diamalkan oleh Muafakat Nasional (MN), di mana semua yang diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perunding MN harus dikembalikan kepada parti masing-masing untuk dibuat keputusan selanjutnya.

Sehubungan dengan itu, saya menyarankan supaya PN memberi ruang kepada badan-badan pemutus di dalam PAS membuat pendirian untuk penggunaan lambang PN tersebut.

Dr Mohd Zuhdi Marsuki

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

26 Oktober 2021

19 Rabiulawal 1443



No comments: