SYABAS DAN TAHNIAH YB PROF. RUSNAH ALUAI, AHLI PARLIMEN TANGGA BATU

 ISU ARAK JENAMA TIMAH:

SYABAS DAN TAHNIAH YB PROF. RUSNAH ALUAI, AHLI PARLIMEN TANGGA BATU


Ramai juga yang kelihatan kurang senang dengan hujah Ahli Parlimen Tangga Batu, YB Prof Rusnah Aluai terkait isu jenama arak  buatan Malaysia, Timah. Ini termasuk kritikan yang datang juga dari beberapa orang rakan pembangkang.


Apa pun rasa kurang senang itu, atau bagaimana ia diekspresikan, adalah tidak adil untuk menyerang Ahli Parlimen Tangga Batu tersebut. 


Pertama, YB Prof Rusnah berhujah bahawa jenama Timah yang diberikan kepada arak tersebut adalah bersifat tidak sesuai dengan budaya Melayu khususnya kerana Timah pada lazimnya merupakan nama tradisional wanita Melayu. Dulu masyarakat Melayu terutama masyarakat kampung ramai yang menamakan anak perempuan mereka dengan nama Timah. Oleh itu pada pengamatan YB Prof Rusnah, pengeluar arak tersebut telah mengabaikan sensitiviti masyarakat Melayu. 


Kedua, Ahli Parlimen Tangga Batu juga menyentuh tentang gambar Kapten Tristram Speedy pada botol arak itu yang berimej seolah-olah memakai kopiah adalah tidak sesuai dengan imej negara ini yang agama rasminya adalah Agama Islam. Sekali lagi syarikat  pengeluar arak tersebut dilihat tidak sensitif dalam isu ini. 


Ketiga, adalah lebih menyedihkan ialah pihak berkuasa yang meluluskan pengeluaran arak tersebut dilihat tidak prihatin terhadap dua isu ini sebelum meluluskannya. Pihak berkuasa yang dimaksudkan ialah kerajaan. Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana sebuah kerajaan yang mengaku dan mencanangkan sebagai sebuah Kerajaan Melayu Islam boleh melakukan kekhilafan sebegini rupa? Nama Melayu Islam yang dijaja merata-rata saban hari seolah-olah telah dipersendakan oleh pihak kerajaan sendiri apabila meluluskan pengeluaran arak ini termasuk meluluskan jenama Timah dan logo Kapten Speedy yang memakai kopiah. 


Tambahan pula sejak beberapa minggu ini, saban hari sebahagian besar rakyat mempersoal perkara ini. Imej Melayu dan Agama Islam dilihat telah tercemar. Alasan pihak pengeluar jenama itu digunakan kerana Malaysia adalah pengeluar bijih timah terbesar dunia adalah tidak masuk akal, dangkal dan tidak boleh diterima sama sekali. Alasan yang tiada asas lojiknya. 


Inilah yang sebenarnya sebab-sebab yang telah disampaikan oleh YB Prof Rusnah di dalam hujahnya di Parlimen. Rakyat sewajarnya berterima kasih kepada beliau kerana berani bersuara dengan lantang dalam mempertahankan imej orang Melayu dan agama Islam. Sebelah pagi YB Rusnah berhujah, maka pada sebelah petang pengeluar arak tersebut membuat kenyataan membuat permohonan kepada pihak berkuasa untuk menukar jenama dan gambar Kapten Speedy kepada jenama yang lain.


Syabas diucapkan kepada YB Prof Rusnah Aluai, Ahli Parlimen Tangga Batu dari Parti Keadilan Rakyat. Sikap begini seharusnya menjadi contoh terbaik kepada Ahli-Ahli Parlimen yang lain. Ahli Parlimen adalah wakil rakyat bukan wakil syarikat. 


Seluruh rakyat khususnya orang-orang Melaka wajar berbangga mempunyai seorang wakil rakyat seperti YB Prof Rusnah Aluai, bersahaja dalam berhujah namun kesannya cukup mendalam dan memberi impak positif.


Zaidi Ahmad

@ Aki Rock



No comments: