Adly buktikan komitmen PH tinggi, tingkatkan mutu perkhidmatan awam

 



Usaha bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kecekapan pengangkutan awam di Melaka tetap menjadi agenda utama

Oleh MALAYSIA DATELINE / October 30, 2021

Usaha bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kecekapan pengangkutan awam di Melaka tetap menjadi agenda utama bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Walaupun usaha ini katanya telah terbantut ekoran pertukaran kerajaan namun ia membuktikan komitmen tinggi kerajaan Pakatan Harapan negeri untuk meningkatkan mutu penerbangan dan pengangkutan awam di Melaka.

Adun Bukit Katil itu juga berkata, antara yang menjadi fokus utama ketika menerajui Melaka selama 22 bulan ialah perkhidmatan bas awam.

Ini kerana katanya perkhidmatan bas awam amat penting kepada rakyat yang berpendapatan rendah di mana kerajaan PH negeri ketika itu telah melaksanakan projek perintis bas percuma Melaka (2 unit) untuk laluan utama Melaka Sentral-MITC.

“Kadar anggaran penggunaan adalah 300,000 orang (Ogos 2018-Feb 2020) bersamaan 16,000 penumpang sebulan.

“Syarikat bas negeri yang menanggung banyak hutang dan hanya 4 unit bas sahaja dapat berfungsi setelah disusun semula.

“Hasilnya, pada tahun 2019/2020, kerajaan PH berjaya meningkatkan bas berfungsi kepada 14 buah,” katanya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Melaka.

Sehubungan itu, katanya kemudahan bukan sahaja tertumpu kepada pengangkutan darat, malah kerajaan PH negeri juga berusaha meningkatkan mutu pengangkutan udara.

Misalnya kata beliau Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam (LTAM) yang tahap penggunaannya sangat rendah kerana gagal menarik minat syarikat penerbangan komersial, diberi perhatian khusus.

“Di bawah pentadbiran PH, kerajaan negeri telah berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan seperti AirAsia dan Malindo Air untuk membawa masuk laluan baharu.

“Tambahan penerbangan baharu Melaka-Kota Bharu, Melaka-Langkawi juga laluan ke Sabah/Sarawak dan antarabangsa telah dirunding dan diterokai,” ujarnya lagi.


No comments: