Kerusi Parlimen Tambun: Pemuda PKR bidas Aziz Bari

 


Kerusi Parlimen Tambun: Pemuda PKR bidas Aziz Bari


Pemuda PKR cabang Tambun berpendapat bahawa kerusi kawasan parlimen itu adalah milik PKR selepas penyandangnya Bersatu telah keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Ketuanya, Ashraf Kahasani berkata bahawa ini kerana PKR hanya meminjamkan kerusi tersebut kepada Bersatu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Merujuk kepada kenyataan (Naib Pengerusi DAP Perak) Abdul Aziz Bari mengenai hasrat beliau untuk bertanding di Tambun.

“AMK (Pemuda PKR) Tambun ingin menegaskan bahawa kerusi parlimen Tambun adalah milik PKR dan mengharapkan Aziz memperbetulkan kenyataan beliau sebelum ini kerana PKR hanya meminjamkan kerusi parlimen Tambun kepada Bersatu pada PRU14,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.

Dia berkata demikian susulan laporan Sinar Harian sebelum ini yang memetik  Aziz sebagai berkata bahawa kerusi Parlimen Tambun bukan milik mana-mana parti komponen PH memandangkan ia kerusi yang ditinggalkan Bersatu.

Aziz yang juga ketua pembangkang DUN Perak berkata bahawa belum ada keputusan rasmi mengenai pemilik kerusi Parlimen Tambun setakat ini kerana penyandangnya keluar dari PH.

Tambahnya, pengalaman sebagai mantan exco kerajaan negeri memberi kelebihan kepadanya untuknya bekerja di kawasan Parlimen tersebut.

Bagaimanapun, Ashraf berkata bahawa apabila Bersatu mengumum keluar daripada PH, secara prinsipnya kerusi tersebut kembali milik PKR.

Tambahnya, pada Mesyuarat Agung Tahunan 2020, PKR Cabang Tambun telah sebulat suara meluluskan Presiden PKR Anwar Ibrahim, ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador dan Adun Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad sebagai calon pilihan untuk bertanding di parlimen Tambun.

Untuk rekod, parlimen Tambun ditandingi PKR sejak tahun 2008 sebelum diserahkan kepada Bersatu pada PRU14.

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu memenangi kerusi tersebut dengan mengalahkan penyandangnya Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dari Umno.

No comments: