Tak perlu campurtangan tuntutan RM100 juta Kedah, Sanusi beritahu Chow
PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor meminta kerajaan Pulau Pinang tidak campur tangan terhadap tuntutan negeri itu bagi mendapatkan royalti pajakan berjumlah RM100 juta setahun daripada kerajaan Persekutuan.
Sanusi berkata, tuntutan tersebut juga bukanlah urusan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow
“Saya tak perlu komen banyak berkenaan kenyataan Kon Yeow. Permohonan Kedah ini bukan urusan beliau.
“Selama ini, bayaran royalti RM10,000 dan sumbangan khas berjumlah RM10 juta setahun kepada Kedah sejak 2018 itu pun kerajaan Persekutuan yang bayar,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Terdahulu, Rabu lepas media melaporkan Kedah menuntut bayaran RM100 juta setahun daripada kerajaan persekutuan sebagai “bayaran pajakan” tanah di Pulau Pinang.
Sanusi menegaskan bayaran RM10 juta oleh Putrajaya bagi pihak Pulau Pinang ketika ini harus dikaji semula.
Bayaran berkenaan adalah untuk pajakan tanah di pulau dan Seberang Perai di negeri itu.
Dalam kenyataan balas, Pulau Pinang dilaporkan tidak akan melayan tuntutan Sanusi berhubung bayaran pajakan tanah kepada negeri itu yang dinaikkan kepada RM100 juta setahun.
Chow berkata, pihaknya juga tidak mahu Putrajaya melayan tuntutan Sanusi dan meneruskan pembayaran RM10 juta setahun seperti sebelum ini.