PARTI BARU PULAK...ADA ROS NAK LULUS...BALIK AWAI LA

 


Terkini! Abang PM bakal lancar parti baru, saingan kepada Umno

Terkini! Abang PM bakal lancar parti baru, saingan kepada Umno

Kamarazaman Yaakob, abang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan melancarkan parti baru iaitu Parti Kuasa Rakyat, yang berbilang kaum dan mesra kerajaan pada 10 Oktober ini.

Bercakap kepada Malaysiakini, Kamarazaman yang juga Presiden Penaja kepada Parti Kuasa Rakyat berkata, objektif utama parti tersebut adalah memperjuangkan rakyat golongan B40 dan M40 dari tiga aspek utama iaitu pendidikan percuma, kesihatan percuma dan bantuan penginapan untuk rakyat miskin.

“Kita yakin perdana menteri ini (Ismail Sabri) juga mempunyai pemikiran membela rakyat marhaen daripada sejarah dia duduk (menyandang jawatan) di kementerian- kementerian itu (sebelum ini). Dia agak jelas memihak kepada rakyat kebanyakan, rakyat yang susah,” katanya apabila ditanya mengapa dia memilih untuk menubuhkan sebuah parti mesra kerajaan.

Tambahnya, keprihatinan Ismail Sabri terhadap rakyat kebanyakan dapat dilihat melalui sejarahnya memimpin beberapa kementerian di bawah portfolionya seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Jadi kita lihat tidak ada pertembungan daripada pemikiran dari pendirian parti dengan apa yang dia (Ismail Sabri) telah buat,” katanya.

Kamarazaman yang juga merupakan Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UMSU) pada 70-an turut aktif memperjuangkan isu-isu rakyat, sehingga pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1974 kerana terlibat dalam demonstrasi Baling di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Demonstrasi itu membantah harga getah yang menjunam yang memberi kesan kepada ekonomi petani dan penoreh getah khususnya di Baling, Kedah yang menyaksikan penduduk di situ kebuluran.

Kamarazaman menyifatkan perjuangan partinya itu sebagai kesinambungan daripada apa yang telah diperjuangkan sebelum ini.

Menurutnya, dia melihat bahawa parti politik sedia ada tiada yang benar-benar terdiri daripada ahli yang berbilang kaum, selain PKR (Parti Keadilan Rakyat).

“Parti ni adalah parti yang dibentuk oleh sekumpulan ahli akademik, profesional, ahli perniagaan, aktivis sosial dan orang yang berfikir untuk meneruskan perjuangan apa yang saya perjuangkan di kampus dahulu,” katanya.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada partinya akan meletakkan calon pada pilihan raya akan datang, katanya perkara tersebut bukanlah menjadi matlamat sebenar perjuangannya.

“Kita tak memikirkan pilihan raya. Kita fikir untuk lahirkan sebuah parti yang perjuangkan hak-hak orang miskin.

“Soal pilihan raya tu bukan matlamat kita. Matlamat kita adalah untuk memperjuangkan rakyat miskin,” katanya.