‘NO WAY’ BEKERJASAMA, HINANYA BERSATU DI MATA UMNO…..

 

Meskipun perlaksanaan ketetapan putus hubungan dan tiada kerjasama antara UMNO dengan Bersatu sepatutnya hanya berkuatkuasa apabila PRU15 diadakan, tetapi Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi nampaknya mahu ia lebih awal dikuatkuasakan.

Berdepan PRN Melaka yang bakal diadakan tidak lama lagi, beliau berkata, no way untuk UMNO bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihanraya tersebut.

“Saya minta maaf, no way,” katanya dengan tegas.

Seterusnya, Zahid Hamidi mahu melihat UMNO melalui PRN Melaka dan tanpa bekerjasama dengan Bersatu, partinya masih mampu bangkit dan menjadi pilihan pengundi.

Penegasan Zahid Hamidi ini dengan sendirinya memberi jawapan terhadap kenyataan beberapa pemimpin Bersatu sebelum ini yang masih berharap ada kerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRN Melaka.

Dengan itu, tidak perlu lagi bagi Bersatu terus terhegeh-hegeh mengharapkan kerjasama dengan UMNO.

Bersatu sebaiknya melupakan terus UMNO dan mula mengumpul kekuatan sendiri bersama parti-parti dalam gabungan PN sama ada untuk mendepani PRN Melaka ataupun PRU15.

Lebih daripada itu, penegasan Zahid Hamidi dengan jawapan “no way” itu adalah suatu penghinaan terang-terangan kepada Bersatu.

Bersatu seolah-olah begitu hina di mata UMNO dan Zahid Hamidi sehingga diberi jawapan kasar “no way” untuk bekerjasama, sedangkan mereka masih bersama-sama dalam kerajaan yang sekarang ditunjangi oleh UMNO

Dengan ini, masihkah lagi ada “way” untuk Bersatu terus bersama dalam kerajaan yang ada sekarang?

Tidak bimbangkah Bersatu dengan penghinaan lain yang bakal menyusul selepas ini daripada UMNO, maklumlah kerusi Perdana Menteri sudah ada dalam genggaman mereka? – ShahbudinHusin 07/10/2021.