,
RMK 12 bantu PKS, pelan pelaksanaan tak ada?
Rancangan Malaysia Ke (RMK) 12 kelihatan memberi pengharapan kepada komuniti perniagaan Malaysia terutama sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Namun pada hakikatnya, menurut Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew sektor PKS hanya diberikan perancangan dan harapan dalam RMK tetapi tidak kelihatan kaedah implimentasi atau pelaksanaannya.
“Sejujurnya ia bukan strategi terbaik untuk 5 tahun akan datang. Mengapa saya kata begini kerana ia bukan satu rancangan untuk pembangunan. Sebab RMK 12 ada rangka dasar yang komprehensif, kelemahan masa lalu dan sasaran ingin dicapai tetapi tanpa sebarang rancangan implimentasi dan anggaran peruntukan untuk merealisasikan strategi yang dicadangkan. Inilah kelemahan RMK 12,” katanya.
Menyentuh mengenai digitalisasi dalam sektor PKS, Dr Tan berkata, hal itu perlu dilakukan segera agar pemain industri PKS yang merupakan majikan terbesar di negara ini tidak ketinggalan.
“Saya rasa digitalisasi amat penting untuk jangka masa panjang. Ini haluan baru untuk PKS. Amat penting kita beri tumpuan merangka strategi ini. Perbezaan di luar bandar atau bandar, tidak sama. Itu perlu diambil perhatian bila buat rancangan,” katanya.
Bagaimanapun isu yang paling besar, kata Dr Tan ialah seluruh RMK 12 itu berada dalam tahun-tahun pandemik Covid 19 dan pasca pandemik yang memerlukan kerajaan meneliti semula unjuran untuk disesuaikan kepada keadaan ekonomi semasa
“Sebahagian besar tempoh rancangan ini dalam suasana pandemik dan pasca pandemik. Jadi semua unjuran perlu mengambil kira hal tersebut
“Juga menghitung semula (kekuatan) ekonomi negara dan kehidupan rakyat. Hal itu akan berbeza daripada setahun atau dua tahun sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun, kelemahan implementasi RMK kata Dr Tan boleh dilihat dalam sektor perniagaan makro. Misalnya penjaja kecil yang sukar untuk memohon bantuan apabila kerajaan memerlukan lesen dan sebagainya sebagai bukti menjalankan perniagaan.
“Saya terima banyak aduan dari peniaga kecil. Pada pandangan saya pelan kena disusun dengan baik. Pelan ini perlu dirangka ikut keperluan peniaga. Jangan libatkan sangat birokrasi.
“Baru-baru ini ada peniaga jual nasi lemak tanya saya bagaimana dapatkan bantuan? Mereka perlukan SSM. Jadi bagaimana penjual nasi lemak ada SSM? Ini tidak masuk akal.
“Cara ini menyusahkan peniaga kecil. Saya diberitahu selain sijil SSM mereka boleh beri lesen perniagaan DBKL sebagai bukti peniaga kecil. Masalahnya di Kuala Lumpur banyak peniaga yang berniaga tanpa lesen atau menyewa lesen.
“Jadi mereka tak ada lesen bagaimana mahu dapatkan bantuan? Yang mudah dapat ialah pemegang lesen tetapi tak berniaga.
“Saya cadangkan permohonan kategori tak ada lesen ini dipermudahkan. Sekiranya permohonan mereka disokong wakil rakyat maka terimalah. Ini cara yang mudah untuk mereka dapatkan bantuan,” katanya lagi