Kalaulah UMNO itu manusia, sah ia kini sedang mengalami kecelaruan jiwa dan perlukan rawatan dengan segera.
Jika sebelum ini ramai yang menyindir kejatuhan kerajaan negeri Melaka sebagai episod pelik kerana “UMNO jatuhkan UMNO”, kepelikan itu rupa-rupanya tidak berakhir begitu saja.
Sebaik DUN Melaka telah dibubarkan berikutan cadangan yang dikemukakan Sulaiman Md Ali diterima oleh Tuan Yang Dipertua Negeri, Tun Ali Rustam, UMNO kini bersungguh-sungguh pula menyarankan agar PRN Melaka tidak diadakan, sebaliknya ditangguhkan.
Penangguhan itu dicadangkan melalui perisytiharan darurat sebagaimana dilakukan di Sarawak, Batu Sapi dan Gerik sebelum ini.
Darurat hanya boleh diisytiharkan oleh Yang Dipertuan Agong atas nasihat yang dikemukakan oleh Perdana Menteri selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negara atau MKN.
PRN Sarawak perlu diadakan kerana tempoh matang DUN negeri itu telah cukup lima tahun dan PRK Batu Sapi serta Gerik pula disebabkan kematian wakil rakyatnya, maka penangguhan ketiga-tiga pilihanraya itu atas alasan Covid19 sedang menggila tidaklah terlalu menghairankan.
Tetapi berbeza dengan PRN Melaka kerana ia perlu diadakan berikutan UMNO sendiri yang mengemukakan cadangan pembubaran DUNnya setelah Sulaiman hilang sokongan sebagai Ketua Menteri, walaupun hakikatnya disedari bahaya Covid19 masih belum reda.
Jadi, kenapa setelah UMNO sendiri memohon pembubaran DUN, UMNO juga kemudiannya tampil menyarankan agar PRN negeri perlu ditangguhkan?
Tidakkah ini pelik dan menunjukkan UMNO ada kecelaruan jiwa dalam membuat keputusannya?
Jika benar saranan penangguhan itu kerana tidak mahu wabak Covid19 merebak semula dalam masyarakat, kenapa baru sekarang ia disedari?
Mengapa ia tidak difikirkan sebelum mengemukakan cadangan untuk membubarkan DUN kepada Yang Dipertua Negeri Melaka?
UMNO mahu apa sebenarnya di Melaka ini?
Logiknya, berikutan sudah hilang kuasa di Melaka itu, jika ingin berkuasa semula, mestilah perlu ada pilihanraya diadakan.
Namun, di sebalik saranan menangguhkan PRN, Sulaiman yang sudah hilang sokongan itu juga tidak sepatutnya dicadangkan untuk terus mentadbir negeri atas nama kerajaan sementara.
Dalam hal ini, meskipun beberapa pimpinan UMNO seperti Zahid Hamidi, Najib Razak, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan lain-lain telah tampil dengan saranan menangguhkan PRN Melaka itu, Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri dan Pengerusi MKN tidak seharusnya tunduk kepada kemahuan mereka.
Oleh kerana DUN telah diumum dibubarkan, walaupun proses paling munasabah sebenarnya ialah hanya menukar Ketua Menteri, PRN negeri harus diteruskan dengan pengundian mesti diadakan dalam tempoh 60 hari setelah tarikh pembubaran pada 4 Oktober.
Yang penting, MKN dan SPR harus menetapkan peraturan dan SOP khusus untuk berkempen dan pengundian dalam PRN Melaka ini.
Jika Ismail Sabri tunduk dengan mengikut saranan beberapa pemimpin UMNO yang mahu PRN ditangguhkan dengan mengisytiharkan darurat, ia bukan saja bermakna beliau tidak ubah seperti Mahiaddin Md Yasin yang mempergunakan darurat untuk kepentingan mengekalkan kuasa, malah lebih menunjukkan Perdana Menteri berada di bawah telunjuk Zahid Hamidi dan juga Najib.
Sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri harus memperlihatkan dirinya bebas daripada pengaruh sesiapa.
Tambahan lagi, urusan PRN Melaka adalah urusan UMNO di bawah Zahid Hamidi dan bukan urusan kerajaan Keluarga Malaysia pimpinannya.
Kalau BN tidak menang pun di Melaka nanti, Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang akan lebih menanggung bebannya dan Ismail Sabri tidak boleh terkait apa-apa dengan kekalahan itu. – ShahbudinHusin 07/10/2021.