Oleh MALAYSIA DATELINE / October
28, 2021
Pelaksanaan jaringan
prasarana 5G oleh Digital Nasional Bhd (DNB), yang merupakan sebuah syarikat
bertujuan khas (SPV) dimiliki penuh oleh Kerajaan bakal mengundang risiko buat
negara.
Jawatankuasa Komunikasi,
Digital & Multimedia Pakatan Harapan berkata, langkah pelaksanaan 5G
melalui monopoli DNB ini bermaksud Kerajaan akan berisiko kehilangan pendapatan
dari hasil jualan spektrum 5G terus kepada syarikat-syarikat telekomunikasi,
yang dianggarkan bernilai RM7 hingga RM12 bilion.
Katanya, pada ketika
pendapatan tahunan kerajaan sangat tertekan akibat pandemik COVID-19, sudah
pasti langkah ini akan mendatangkan kesan negatif terhadap pendapatan Kerajaan.
“Hal ini mesti dipertimbang
semula. Selain itu, berdasarkan wawancara Ketua Pegawai Eksekutif DNB pada 16
Oktober lalu, DNB dijangka membuat siri pinjaman bank serta menerbitkan sukuk
menjelang tahun hadapan yang keseluruhannya berjumlah RM 8 billion,” katanya.
Justeru
bagi Pakatan Harapan, pinjaman ini merupakan satu bentuk liability kontingen
(contingent liability) yang merupakan risiko yang terpaksa dipikul rakyat
akhirnya nanti sekiranya DNB gagal membayar balik hutang tersebut.
“Hal
ini wajar dipertimbang semula dengan cukup serius, memandangkan bebanan hutang
kerajaan yang dijangka meningkat.
“Dalam
aspek pelaksanaan secara teknikal, kami meneliti beberapa risiko besar termasuk
isu-isu legasi yang mungkin timbul apabila perkhidmatan telekomunikasi beralih
ke teknologi yang lebih tinggi kelak,” katanya lagi.
Malah
berdasarkan garis panduan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
bertarikh 9 Julai 2021, syarikat-syarikat telekomunikasi hanya dibenarkan untuk
menggunakan spektrum sedia ada untuk menyediakan perkhidmatan sehingga tahap 4G
sahaja dan tidak 5G atau lebih dari itu.
Ini adalah satu kekangan
teknologi yang amat tidak wajar, menghilangkan sifat ‘keberkecualian teknologi’
(removal of ‘technology neutrality’), dan wajib dipertimbang semula.
Justeru
Pakatan Harapan berpendirian bahawa DNB dan seluruh perancangan pelaksanaan
jaringan 5G wajib dibahas di Parlimen, termasuk dibawa kepada Jawatankuasa
Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur, sebelum ia dilaksana sepenuhnya.
Berdasarkan
laporan media, DNB dijangka membelanjakan di antara RM16.5 billion sehingga
RM20 bilion selama 10 tahun untuk membina jaringan 5G, yang dikatakan mampu
meliputi 80% negara menjelang 2024.
Perbelanjaan
untuk 600 staf DNB sahaja dijangka berjumlah RM2.5 billion, atau purata
RM34,722 seorang sebulan untuk tempoh sedekad itu.
Berbeza dengan pengendalian spektrum perkhidmatan telekomunikasi untuk 2G, 3G dan 4G sebelum ini, syarikat-syarikat telekomunikasi tidak ditawarkan untuk membida spektrum 5G tetapi terpaksa menyewa spektrum tersebut dari DNB sahaja pada satu kadar yang ditetapkan untuk satu jangkamasa yang ditetapkan.