Zahid ibaratkan Bersatu macam ular yang tak boleh dipercayai
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi berkata BN tidak akan “ditikam dari belakang” di Melaka, seperti yang berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah.
Dalam ucapannya ketika pelancaran jentera PRN Melaka BN, Zahid berkata suara akar umbi menolak kerjasama dengan Bersatu mesti dihormati.
“Mereka yang pernah menikam kita dari belakang, yang pernah mematuk kita waktu PRN Sabah, saya berazam ular yang sama tidak akan patuk tempat yang sama untuk kali kedua,” katanya.
“Kita mesti menghormati ketetapan Perhimpunan Agung Umno, bahawa kita jangan dimanipulasikan untuk ditunggangi semula.
“Maka ketetapan itu mesti dihormati, kita tidak akan pernah bekerjasama bersama Bersatu dalam PRN Melaka.”
Zahid yang juga Presiden Umno berkata, ini bukannya pendiriannya sebaliknya suara akar umbi.
“Presiden Umno mesti akur suara akar umbi,” katanya, menurut laporan FMT.
Tambahnya, tiada keperluan untuk BN bercakap buruk mengenai musuhnya, sebaliknya sekadar menceritakan mengenai kebaikan BN dan apa yang boleh dilakukan untuk rakyat.
Zahid turut berkata, jika BN menang majoriti dua pertiga di Melaka, ia akan meminda perlembagaan negeri dengan menyarankan agar lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik.
Sementara itu, Zahid berkata BN akan memperkenalkan wajah baharu dalam PRN Melaka dengan manifesto ringkas tetapi bermakna.
“Calon-calon mesti ada sifat WALI – ‘winnable, acceptable and likeable’ (boleh menang, boleh diterima dan disukai)… WALI, hati yang mempunyai ilmu, boleh diterima semua kaum dan agama di Melaka.”
Katanya, faktor calon menjadi penentu kemenangan dan tidak akan ada pilih kasih dalam pemilihan calon.