Majoriti akar umbi Umno tidak mahu parti itu bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan, kata timbalan presidennya, Mohamad Hasan.
“Nampaknya kalau kita letak ukuran 10, sembilan daripadanya tidak mahu Umno bersama dengan Bersatu. Bagaimanapun, itu pandangan secara umum.
“Parti akan ambil pandangan semua dan maklum balas, kita akan teliti, kita buat pengiraan untung ruginya, kalau bersama macam mana, kalau tak bersama macam mana, itu semua diambil kira,” katanya yang dipetik portal Berita Harian, hari ini.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengulangi penjelasan parti yang diterajuinya itu yang menolak kerjasama politik dengan Bersatu.
Katanya, keputusan menolak Bersatu dibuat oleh parti dan bukan keputusan solo yang dibuatnya selaku presiden parti.
Menurut Zahid, keputusan akar umbi parti itu dibuat pada Perhimpunan Agung Umno 2020 dan juga oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Hasan berkata, isu kerjasama dengan parti lain akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Unno malam esok.
Katanya, mesyuarat juga akan membentangkan persiapan parti untuk menghadapi PRN Melaka.
Mengenai kerjasama Muafakat Nasional (MN), Adun Rantau itu berkata, kerjasama kedua-dua parti banyak bergantung kepada PAS.
“Kita sentiasa menghulurkan tangan, tetapi PAS kena buat keputusan sama ada mahu bersama Perikatan Nasional (PN) atau dengan MN.
“Kita minta PAS buat keputusan, jangan pula Umno dilihat sebagai yang tidak mahu. Sebenarnya, kita sudah katakan terpulang kepada PAS, kita sentiasa menghulurkan tangan.
“Malah, pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini pun kita sudah menyatakan tidak akan mengadakan kerjasama dengan Bersatu, tetapi kita mahu terus mengukuhkan MN. Jadi itu terpulang kepada mereka (PAS),” katanya,