PUNCANYA TIDAK LAIN MELAINKAN PAS TIADA KESETIAAN….

 

Sehingga kini masih tiada ketentuan lagi tentang kerjasama tiga parti – UMNO, Pas dan Bersatu – dalam menghadapi PRN Melaka.

Kalau ikut Presiden UMNO, Zahid Hamidi, beliau mahu BN bertanding solo dan tidak bekerjasama, baik dengan Pas mahu pun Bersatu.

Tetapi, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan masih terbuka untuk bekerjasama dengan Pas, walaupun mengatakan 95 peratus akar umbi UMNO tidak mahu ada kerjasama parti itu dengan Bersatu.

Maknanya, beliau masih berharap kepada kerjasama daripada Pas dan tidak kepada Bersatu serta mengatakan dalam keadaan sekarang, segala-galanya terserah kepada Pas untuk membuat pendirian.

Begitu pun, dalam keadaan Pas masih diharapkan oleh UMNO untuk bekerjasama, parti Islam itu pada semalam, telah pun menyatakan persetujuan dalam mesyuarat PN untuk bertanding dalam PRN Melaka bersama gabungan tersebut.

Malah, berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan Pengerusi PN, Mahiaddin Md Yasin semalam itu, tiga parti gabungan PN yang setuju bertanding dalam PRN Melaka – Bersatu, Pas dan Gerakan – turut bersetuju untuk menggunakan hanya satu logo.

Logo yang dipersetujui digunakan oleh ketiga-tiga parti ialah lambang PN dan ini bermakna Pas telah melakukan pengorbanan besar tidak menggunakan logonya sendiri demi cinta kasih dan sayangnya yang tak terhingga kepada PN.

Apakah maknanya semua ini?

Memahami keadaan ini, sebenarnya tidak perlu lagi untuk UMNO terus berharap dapat bekerjasama dengan Pas kerana parti itu telah pun menunjukkan komitmennya yang jelas untuk bersama Bersatu dan Gerakan dalam PN untuk menghadapi PRN Melaka.

Jadi, sia-sia saja untuk UMNO terus berharap dapat bekerjasama dengan Pas.

Tambahan lagi, adalah tidak mungkin dan hampir mustahil Pas sanggup membatalkan persetujuan yang telah diberikannya kepada PN atau ia keluar daripada gabungan itu semata-mata untuk bekerjasama dengan UMNO.

Sebaliknya apa yang Pas mahu dan harapkan ialah membawa UMNO dan Bersatu untuk bekerjasama dengan menjadikan kedudukan dirinya yang berada di tengah-tengah sebagai jambatan.

Agaknya kerana terbiasa dengan amalan sebahagian pemimpinnya memadukan isteri, maka Pas juga seperti cuba untuk memadukan UMNO dengan Bersatu dalam politik negara ini.

Bergaduh dan berkelahi antara UMNO dan Bersatu tidak menjadi masalah bagi Pas yang berada di tengah-tengah, yang penting asalkan semuanya berada dalam rumahtangga yang sama.

Dalam hal ini, Bersatu yang tiada kekuatan serta akar umbi, tentu saja tidak menolak untuk dimadukan dengan UMNO.

Namun, tidak bagi UMNO kerana bermadu dengan Bersatu lebih banyak membawa kerugian daripada keuntungan kepada mereka.

Pokoknya di sini, kemelut dan tiada penyelesaian dalam hubungan tiga parti ini ialah kerana tiadanya kesetiaan di pihak Pas.

Pas mudah rambang mata, mudah tergoda dan selalu ada keinginan untuk memiliki kedua-dua jiwa.

Jika sejak awal Pas ada kesetiaan dan faham erti kesetiaan dalam hubungannya dengan UMNO dalam MN yang lebih dulu wujud berbanding PN, semua masalah yang berbangkit hari ini pasti tidak berlaku.

Disebabkan punca masalah daripada Pas itu, tidak dapat dipastikan ada jalan penyelesaian atau tidak untuk ketiga-tiga parti itu dalam PRN Melaka ini.

Yang nyata, UMNO dengan Bersatu memang tidak boleh diperbaiki lagi hubungannya.

Ada atau tidak jalan selesainya, yang pasti ketiga-tiga parti itu akan terus bermusuhan dan bercakaran selepas ini untuk tempoh yang lama dan mungkin juga selama-lamanya.

Selain BN dan PN adalah entiti yang berbeza, bak isteri tua dengan isteri muda, kerjasama yang ingin dicapai dalam PRN Melaka antara ketiga-tiga parti sebagaimana keinginan Pas itu juga tiada keikhlasan sama sekali antara mereka.

Kerjasama yang ingin dibuktikan hanyalah berasaskan kepentingan sementara semata-mata, untuk memuaskan perut, nafsu serta jawatan dan bukan untuk membela nasib rakyat Melaka.

Untuk itu, sama ada UMNO, Pas dan Bersatu bekerjasama atau tidak akhirnya, ia bukanlah perkara yang tujuannya untuk mengutamakan rakyat kerana ketiga-tiga parti itu atau gabungan yang menaungi mereka hanya memikirkan kepentingan diri mereka semata-mata.

Berbaik, berbalah atau bekerjasama – semuanya untuk memenuhi nafsu saja.

Untuk itu, seharusnya mereka itu ditolak dan jangan sama sekali diberi undi, bermula di Melaka pada 20 November ini dan seterusnya pada PRU15 akan datang.

Ini saja cara memberi pengajaran kepada mereka, lagi pun kemenangan mereka tidak mengubah apa-apa kepada nasib rakyat yang susah dan derita kerana paksi keutamaan mereka hanya kepentingan diri semata-mata. – 


ShahbudinHusin 27/10/2021.




No comments: