TAKUT KENA HENTAM DENGAN PEMBANGKANG, WAKIL KERAJAAN HANYA 5 ORANG SAHAJA

 

Hanya 5 wakil kerajaan hadir ketika Anwar bahas RMK12, mana bakinya, soal pembangkang





Nga Kor Ming berkata, ketiadaan majoriti Ahli Parlimen kerajaan di Dewan Rakyat ketika Anwar Ibrahim membahaskan RMK12 hari ini menunjukkan mereka seolah-olah tidak menghormati institusi Parlimen negara. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming kecewa dengan majoriti wakil rakyat kerajaan yang tiada dalam Dewan Rakyat ketika Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Katanya, hanya lima menteri dan timbalan menteri yang hadir ketika Anwar berbahas dan tidak sejajar dengan langkah transformasi Parlimen yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan Ahli Parlimen kerajaan itu menunjukkan mereka seolah-olah tidak menghormati institusi Parlimen negara.

“Kabinet kita yang paling besar dalam dunia, iaitu 69 menteri dan timbalan menteri. Saya rasa adalah penting dalam aspek transformasi Parlimen, apabila ketua pembangkang berucap, bolehkah kita tetapkan sekurang-kurangnya menteri dan timbalan menteri hadir untuk dengar perbahasan ketua pembangkang?

“Ini adalah sebahagian usaha transformasi Parlimen kerana ini merupakan kod etika cukup asas, tetapi tidak dipatuhi.

“Pagi ini saya berasa sedih apabila ketua pembangkang berucap, hanya lima individu di blok kerajaan. Ke mana perginya lebih 60 menteri dan timbalan menteri yang lain?” soalnya ketika mencelah perbahasan RMK12 Anwar di Dewan Rakyat.

Nga turut mendesak tindakan diambil ketua hhip kerajaan kerana ia adalah amalan demokrasi untuk menghormati institusi Raja berperlembagaan, iaitu demokrasi berparlimen.

Anwar bersetuju dengan pandangan Nga dan berkata, ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, beliau tidak meninggalkan dewan bagi mendengar perbahasan ketua pembangkang ketika itu.

No comments: