UMNO TOLAK BERSAMA BERSATU, BERSATU SEDIA LANGGAR UMNO, PAS NAK IKUT MANA?

 

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, UMNO memang sudah memuktamadkan tidak mahu bersama atau bekerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRU15 akan datang.

Oleh kerana ketetapan tersebut telah dimuktamadkan oleh Perhimpunan Agung UMNO atau PAU, maka hanya melalui PAU saja ia boleh dibatalkan.

Dalam erti kata lain, selagi ketetapan itu tidak dibatalkan oleh PAU, selagi itulah keputusan tidak mahu bersama itu kekal berkuatkuasa.

Lebih mudah difahami, itulah juga sebenarnya ketetapan kepimpinan UMNO sekarang dalam isu hubungan dengan Bersatu dan dalam hal ini, sudah ramai pemimpin UMNO memberi penegasan demikian.

Selagi kepimpinan UMNO tidak berubah atau sekiranya PRU15 diadakan sebelum pemilihan UMNO yang bermakna Zahid Hamidi masih memimpin parti ketika itu, ertinya tiadakah kerjasama dengan Bersatu.

Mahu tidak mahu, sebagai parti sama-sama parti Melayu, UMNO dan Bersatu akan berlawan sesama sendiri dalam PRU15 nanti.

Dalam konteks yang sama, Bersatu juga memaklumkan mereka hanya akan bekerjasama dengan parti yang sealiran dengan mereka saja.

Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin berkata, sememangnya kerjasama parti di bawah PN yang membentuk kerajaan hari ini bersama-sama parti lain seperti UMNO tetap ada, namun kurang jelas hala tuju parti itu pada masa akan datang.

“Hubungan kita dengan parti-parti lain seperti UMNO dalam kerajaan sekarang memang ada di peringkat nasional dan negeri, cuma kita kurang jelas hala tuju ke depan sama ada UMNO akan terus bersama begini atau ada pilihan tersendiri, itu bukan hak saya untuk tentukan.

“Jika mereka sebahagian daripada kita, kita akan bekerjasama. Jika tidak, kita akan ‘langgar’ mereka pada PRU akan datang.

“Ini adalah prinsip kita yang mana saya rasa ia sememangnya diterima oleh semua ahli Bersatu,” tegas Mahiaddin lagi.

Apa yang menarik dalam hubungan UMNO dan Bersatu ini ialah tentang kedudukan sebuah lagi parti Melayu iaitu Pas.

Ketika sama-sama jadi pembangkang, Pas dan UMNO sedia mengenepikan segala perbezaan dan akhirnya bersepakat untuk mendepani PRU15 melalui Muafakat Nasional.

Tetapi, apabila kemudian PH tumbang dan UMNO serta Pas bersama-sama membentuk kerajaan PN yang dipimpin Mahiaddin, Pas tanpa pandang kiri kanan, barangkali hanya kerana kuasa sedang berada dalam tangan Bersatu, telah mengambil keputusan untuk menyertai gabungan PN.

Sejak bersama PN, Pas tidak lagi mengambil berat tentang Muafakat Nasional atau MN, malah mesyuarat bersama UMNO yang dulu kerap diadakan pun sudah mula diabaikan.

Tidak rasmi berpisah, hubungan Pas dan UMNO nyata sudah semakin menjauh sejak ia bersama PN yang ditunjangi Bersatu.

Namun sekarang, pusat kuasa yang dulunya ada pada Bersatu di mana Mahiaddin sebagai Perdana Menteri, telah pun berpindah kepada UMNO dengan Ismail Sabri Yaakob pula menjadi Perdana Menteri.

Lalu, ke mana cinta kasih Pas dalam PRU15 akan datang – kekal bersama PN atau akan rujuk balik kepada UMNO?

Pilihan bagi Pas kali ini ialah ia mesti memilih salah satu daripadanya untuk dipilih bagi dibersamai demi memastikan peluang kemenangan lebih cerah untuk digapai.

Demi kemenangan juga, Pas tidak boleh mengenepikan kedua-duanya dan tidak boleh pula memilih untuk tidur bersama keduanya dalam waktu yang sama kerana UMNO dan Pas boleh dikira sudah berkerat rotan dan berpatah arang hubungan sesama mereka. – 

ShahbudinHusin 27/09/2021.



No comments: