INI PUN SOQANG LAGI...SAMUN DUIT NEGARA ..RAKYAT TANGGUNG BAYAR JUGA

 

Dedah butiran penyelesaian 1MDB, kata ahli akademik




Dalam penyelesaian terbaharu 1MDB, firma audit KPMG bersetuju membayar kepada kerajaan sebanyak RM333 juta.

PETALING JAYA: Seorang ahli akademik menggesa kerajaan meningkatkan tahap ketelusan yang lebih tinggi bagi membina kepercayaan dan keyakinan terhadap institusi negara dan kedaulatan undang-undang.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata, ketelusan itu bukan hanya terhad kepada kerajaan tetapi juga dalam sektor swasta yang tertakluk kepada kerangka peraturan.

Beliau mengulas isu penyelesaian antara kerajaan dan beberapa syarikat berhubung skandal 1MDB.

Dalam penyelesaian terbaharu, firma audit KPMG bersetuju membayar RM333 juta kepada kerajaan untuk menyelesaikan saman atas dakwaan kecuaian dan pelanggaran kontrak dalam pengauditan penyata kewangan 1MDB.

Geoffrey Williams.

Penyelesaian itu dinilai 800 kali lebih tinggi berbanding bayaran audit yang diperolehi oleh KPMG. Firma terbabit sebelum ini menafikan dakwaan dan berjanji untuk mencabarnya “bersungguh-sungguh”.

Walaupun penyelesaian itu bertujuan menyelesaikan semua tuntutan berkaitan tugas fidusiari KPMG, namun butirannya tidak diketahui.

Williams berkata, dalam kes undang-undang dan perkara berkaitan tadbir urus, ketelusan amat penting dan butiran penyelesaian dan kes lain seperti itu, khususnya membabitkan dana awam, harus didedahkan kepada umum.

“Sekalipun perjanjian itu menyembunyikan nama untuk mengelak daripada menunjukkan orang yang bersalah, ketua audit negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) misalnya, harus diberi maklumat supaya peraturan dan undang-undang boleh ditegakkan atau diubah.”

Katanya, sekiranya langkah itu tidak diambil, ia boleh memberi kesan negatif yang menimbulkan persepsi penyelewengan terhadap sistem, termasuk badan awam dan profesional apabila ia sepatutnya mempunyai tahap integriti tertinggi dan melaksanakan tugas fidusiari kepada orang awam.

“Kepercayaan adalah asas kepada mana-mana ekonomi dan masyarakat yang berjaya. Apabila kepercayaan itu hilang, ia agak sukar untuk mendapatkannya kembali dan bergerak ke hadapan.”

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan turut menggesa ketelusan daripada penyelesaian itu dengan berkata, klausa kerahsiaan tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk mengelakkan ia didedahkan kepada umum.

Walaupun beliau memuji usaha kerajaan mendapatkan kembali wang pembayar cukai namun Mohan berkata, kerajaan mesti meletakkan tanggungjawab ke atas syarikat yang terlibat menerusi badan kawal selia mereka.

Katanya, badan kawal selia harus memastikan syarikat berkenaan diperbaiki ke arah tadbir urus yang lebih baik dan mengelakkan masalah sama berulang.

“Jika tidak, apakah mesej yang kita ingin sampaikan kepada orang ramai apabila mereka boleh menyelesaikan masalah dengan hanya ‘membayarnya’ sahaja?”

No comments: