Perdana Menteri (PM) ke 9,
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diingatkan agar melaksanakan usul Undi Percaya
pada sidang Parlimen sesi September ini atau menghadapi kehilangan keyakinan
rakyat terhadap pentadbirannya seperti bekas PM Mahiaddin Yassin.
Ahli Parlimen Pasir Gudang,
Hassan Abdul Karim berkata, tiada apa yang perlu dikhuatirkan oleh Ismail Sabri
kerana Pakatan Harapan (PH) telah memberi jaminan tidak akan mempersulitkan
beliau dalam pengundian tersebut.
"Jadi beban tanggungjawab
memenuhi permintaan adil dan saksama dari Yang di-Pertuan Agong terletak ke
atas bahu PM Ismail Sabri Yaakob.
"Jika Ismail Sabri lulus
ujian pertama mendapatkan sokongan ahli Dewan Rakyat secara Akuan Bersumpah
sebanyak 114 undi, dan suatu Kabinet atau Jemaah Menteri yang lengkap telahpun
dilantik dan mengangkat sumpah, ditambah sikap positif dan bertanggungjawab
Blok Pembangkang yang mahukan wujudnya keadaan politik yang stabil dan sehat,
maka tidak wajar dan tidak ada alasan untuk Perdana Menteri takut atau bimbang
membentangkan Usul Percaya yang permintaanya telah didekrikan oleh Agong.
"Sebaliknya jika PM Ismail
Sabri ingkar terhadap permintaan yang di-Pertuan Agong itu maka kesannya akan
merugikan PM sendiri. Keabsahannya akan terus dipersoalkan seperti nasib malang
yang pernah menimpa Muhyiddin Yassin. PM ke-9 ini akan dilihat sebagai pemimpin
yang takut dengan bayang-bayang sendiri jika beliau enggan membentangkan Undi
Percaya terhadap dirinya," kata Hassan kepada Suara Keadilan.
Sebelum ini, Ahli Parlimen
Iskandar Puteri, Lim Kit Siang memberitahu media bahawa usul Undi Percaya tidak
terdapat dalam jadual untuk sidang Parlimen sesi September, yang memberi makna
berkemungkinan usul tersebut akan ditunda ke tarikh lain.
Dalam hal tersebut, bagi
Hassan, selain mendapatkan keyakinan rakyat, usul Undi Percaya juga penting
dalam persepsi rakyat mengenai hubungan PM dan Yang di-Pertuan Agong. Tanpa
titah tersebut tertunai, katanya, maka kesetiaan Ismail kepada Agong
dipertikaikan sebagaimana PM sebelum beliau.
"Jadi Perdana Menteri
Ismail Sabri Yaakob perlu menghormati saranan Yang di-Pertuan Agong supaya Undi
Percaya dibentangkan di Dewan Rakyat.
"Agong ingin berkongsi
kuasa dengan Dewan Rakyat, suatu institusi kekuasaan rakyat di bawah sistem
demokrasi berparlimen yang bersumberkan kekuatannya dari mandat rakyat hasil
dari proses pilihan raya
"Jika Saranan Yang
di-Pertuan Agong itu dipatuhi oleh PM dan Jemaah Menteri yang baru dilantik
oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri maka satu konvensyen yang kukuh dari
segi Perlembagaan dapat dibina di mana, kuasa menentukan keabsahan seseorang PM
dan Jemaah Menterinya dilakukan di dalam Dewan Rakyat.
"Kerajaan baru di bawah
pimpinan PM ke-9 ini akan kelihatan kukuh dan berwibawa jika ia dapat melepasi
ujian Undi Percaya," katanya.
Mengenai usul kerajaan yang
sering diutamakan dalam sidang Parlimen sebagaimana alasan yang diutarakan
Speaker Dewan Rakyat ketika pentadbiran Mahiaddin Yassin yang lalu, Hassan
berkata usul percaya adalah hal kerajaan dan itu sepatutnya lebih diutamakan
daripada yang lain.
"Undi Percaya ini datang
dari suatu usul yang dibawa oleh kerajaan, yang diberi keutamaan dalam agenda
Dewan Rakyat di bawah Aturan 15 (1), yang menyatakan bahawa pada tiap-tiap hari
persidangan mesyuarat urusan Kerajaan hendaklah didahulukan daripada
urusan-urusan lain," katanya lagi.
Tambah Hassan, kedudukan Ismail
ketika ini adalah yang terbaik kerana telah mempunyai 114 sokongan dan tidak
ada sebarang usul tidak percaya terhadap PM dibawa oleh Ahli-ahli Parlimen
pembangkang, ataupun dari ahli backbancer Kerajaan.
Jadi, tiada sebab untuk Ismail
menundanya. Sebaliknya kegagalan untuk melakukan usul percaya itu, ujar Hassan,
akan menimbulkan keraguan dan menjatuhkan imej Ismail sebagai PM daripada BN
yang diwar-warkan sebagai penyelamat negara serta didakwa disokong oleh blok
kerajaan dan pembangkang.