Belum pun sampai sebulan UMNO beroleh kembali kerusi Perdana Menteri yang gagal dipertahankan sejak 2018, lagak dan gaya lama pemimpinnya sudah mula menjadi bualan semula.
Kalau dulu, bersama keangkuhan bahawa UMNO tidak mungkin kalah pilihanraya, lagak dan kesombongan mereka yang bergelar pemimpin bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Ia sudah menjadi tontonan yang merata di mana-mana, bahkan jika ada sekumpulan orang sedang makan di penjuru coffee house hotel lima bintang sambil diselang-seli hamburan derai ketawa yang kuat, pastilah ia gerombolan pemimpin UMNO bersama pengikut tegar serta kroni mereka sedang menjamu selera.
Orang lain kalau makan di hotel selalunya agak sopan dan tidak mengeluarkan suara bila ketawa, hanya orang UMNO saja yang berani berkelakuan sebegitu rupa.
Tetapi, apabila UMNO kalah pada PRU 2018, perubahan sikap dan perangai mereka yang bergelar pemimpin sudah mula kelihatan.
Bukan saja mereka lebih merendah diri, kurang berlagak dan jarang-jarang mengunjungi hotel lima bintang, malah kalau makan beramai-ramai di gerai pun mereka sudah pandai memperlahankan ketawa.
Di mana-mana saja ketika itu, lebih mudah melihat kelibat pemimpin UMNO dan bekas menteri bersama kelompok bawahan berbanding dengan kroni dan tauke-tauke.
Ahli bawahan dan rakyat biasa yang mahu bergambar dan berselfie pun lebih mudah mendapat layanan, disertai lagi dengan senyum dan tawa yang lebih ramah.
Kalau ada pilihanraya kecil atau PRK pula, lagilah kita dapat melihat mereka begitu merendah diri, mudah diajak berbual dan tak kisah duduk di tepi parit sekali pun.
Perubahan mula menjelma apabila UMNO dapat semula berada dalam kerajaan melalui pengkhianatan yang dilakukan oleh Mahiaddin Md Yasin bersama kawan-kawannya pada awal 2020 lalu.
Pada waktu itu, bermulalah terdengarnya rungutan daripada dalam UMNO sendiri tentang berubahnya sikap dan watak mereka yang dulunya ramah ketika tiada jawatan, kini telah berubah setelah beroleh kembali kedudukan dalam kerajaan.
Banyak rungutan kedengaran, bukan saja yang memegang jawatan menteri, timbalan menteri dan lain-lain diperhatikan mula mempamerkan kesombongan dan tidak menjawab panggilan, tukang bawa beg dan pencacai pun terjangkit sama dengan penyakit sombong itu.
Hari ini UMNO beroleh kembali kerusi Perdana Menteri, meski mandat kemenangan dan menubuh kerajaan pada hakikatnya adalah milik pihak lain.
Namun, kesombongan era BN dulu jelas sudah muncul semula, walau belum sampai tempoh sebulan mengetuai kerajaan.
Hakikat kesombongan ini bukan rungutan rakyat biasa atau orang luar parti, tapi luahan daripada mereka daripada dalam UMNO sendiri.
Melalui perbualan dan percakapan dengan beberapa pemimpin pertengahan dalam UMNO, jelas sekali sindrom sombong, berlagak dan sewenang-wenangnya menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi dan kroni telah menjelma semula di kalangan mereka yang bergelar pemimpin dan berjawatan menteri dalam kerajaan.
Ada yang mula menyusun orang-orang terdekat untuk mengaut projek kerajaan dan ada pula yang sewenang-wenangnya membuat lantikan politik yang ramai dalam kementerian masing-masing di sebalik negara sebenarnya tidak lagi punya banyak wang dan masih berdepan wabak Covid19 yang mengancam nyawa.
Apa sebenarnya prioriti mereka itu – mengaut habuan selagi sempat atau untuk membantu parti mampu menang pada PRU akan datang melalui jawatan dalam kerajaan yang dipegang?
Tidak sedarkah mereka ramai rakyat tengah kesusahan, tidak cukup makan dan ada yang memilih membunuh diri akibat tekanan perasaan?
Seorang pemimpin UMNO peringkat bahagian berkata, pemimpin UMNO hanya boleh dibuat kawan ketika mereka tiada kuasa saja atau setelah tidak lagi menjadi menteri.
Baik sebelum UMNO kalah atau setelah diberi pengajaran hilang kuasa, perangai mereka sama saja jika ada kuasa, kata pemimpin bahagian itu ketika berbual-bual sambil minum petang dengannya.
Apa yang dirungutkan ini baru tidak sampai sebulan UMNO menerajui semula kuasa di Putrajaya, itu pun sebenarnya masih banyak menumpang kekuatan parti lain dalam kuasa yang sedang dipegang.
Tentulah tidak sukar membayangkan bagaimana lagak dan kesombongan mereka serta keghairahan menggunakan kuasa dalam tempoh-tempoh mendatang nanti.
Kalau dalam UMNO sendiri pun ramai yang bersungut tentang perangai mereka, pastilah rakyat biasa lebih menyampah lagi.
Kalah pilihanraya, menumpang kuasa dan sekarang pun masih menumpang lagi, walau kerusi Perdana Menteri sudah diperolehi, hakikatnya tiada apa-apa yang berubah dalam sikap dan perangai pemimpin UMNO.
Dulu, kini dan selamanya – perangai pemimpin UMNO tetap sama.
Tiada ubat mujarab untuk mengubati mereka melainkan UMNO mesti dikalahkan selagi lagi dalam PRU15 akan datang nanti.
Kalau boleh kali ini biarlah lebih lama ia hilang kuasa – 15 atau 20 tahun sekurang-kurangnya, agar tunas baru yang akan mengambil alih kepimpinan UMNO benar-benar berbeza dengan pemimpin dan saki-baki yang ada sekarang ini. –
ShahbudinHusin 04/09/2021.