MANTAN KETUA SRIKANDI KEADILAN SITI AISHAH SHEIKH ISMAIL MASIH TEGUH BERSAMA KEADILAN DAN AKAN KEMBALI AKTIF MENGHADAPI PRU15



Ramai yang bertanya kepada saya ke mana menghilangnya mantan Ketua Srikandi Keadilan, Siti Aishah Sheikh Ismail atau lebih popular digelar 'Aishah Srikandi"?  Ada khabar yang menyebut beliau kini telah mengikuti jejak langkah kumpulan 'kartel' pengkhianat.


Bekas Senator Dewan Negara itu kelihatan menyepikan diri sejak kejatuhan kerajaan PH akibat dikhianati setahun lebih yang lalu.  Ini memperkuatkan lagi berita atau khabar angin yang menyatakan beliau telah turut bersama kumpulan 'kartel' yang khianat tersebut.  Saya tidak berani untuk menjawap persoalan tersebut selagi saya tidak mendengar sendiri dari mulut beliau.


Baru-baru ini saya berpeluang untuk berhubung terus dengan Ketua Srikandi Keadilan yang pertama ini.  Saya tidak mahu bertanya banyak perkara kepada beliau kerana saya bercadang untuk menampilkan beliau di dalam satu "Pidato Umum Maya" secara live bersama Ketua GERAK98 Nasional, Dato Mohamad Ezam Nor .   Namun, apa yang pasti beliau menyatakan beliau masih setia dan istiqomah bersama perjuangan reformasi yang dibawa oleh Parti Keadilan.   Baginya, perjuangan untuk parti lebih utama dari kepentingan diri, individu atau puak bahkan beliau telah membuktikan prinsipnya itu apabila beliau bersedia untuk menarik diri dari menjadi calon Speaker Dun Perak suatu ketika dahulu demi mematuhi arahan parti.  


Meskipun beliau pernah bertanding di dalam pilihanraya di Kerusi Parlimen Tambun dan tewas, beliau sedikit pun tidak lemah semangat atau berundur dari perjuangan.  Mungkin, suasana selepas kejatuhan kerajaan PH di dalam negara menghadapi pandemik Covid19 yang membataskan banyak pergerakan dan aktiviti politik, ditambah pula beliau tidak memegang apa-apa jawatan penting di dalam parti, mungkin kelibatnya tidak begitu kelihatan.


Pandemik Covid19 yang banyak memberi kesan kepada masyarakat turut dirasai oleh beliau sekeluarga, tambahan pula beliau bukan lagi berjawatan Senator.  Oleh kerana itu, beliau dan suaminya berdikari dan berniaga burger secara kecilan di hadapan rumahnya bagi menampung kehidupan.  Seandainya beliau hanya memikirkan tentang kehidupan yang selesa, sudah pasti beliau turut bersekongkol dengan puak pengkhianat yang juga terdiri dari rakan-rakan seperjuangannya dahulu.  Tetapi, beliau memilih untuk mempertahankan maruahnya dan maruah parti yang beliau sertai.  


Sayap Srikandi Keadilan yang wujud sekitar tahun 2009/2010 yang meletakkan dirinya sebagai Ketua Srikandi Keadilan yang pertama banyak mengajarnya erti kesusahan, penderitaan, ujian dan mehnah di dalam perjuangan.  Mana mungkin beliau yang telah mendidik anak-anak muda wanita untuk cekal berjuang atas prinsip boleh hanyut dengan habuan keduniaan?  Beliau turut menyatakan perasaan bangganya kerana Srikandi Keadilan masih utuh dan semakin mendapat sambutan di bawah kepimpinan Sdri Raiyan Abdul Rahim, wanita muda berbakat dan gigih mewarisi perjuangan ayahandanya Sdr Rahim Ghouse yang tidak asing lagi kepada para reformis.  Srikandi Keadilan kini wujud di semua negeri bagi memperkuatkan lagi Wanita Keadilan khususnya di bawah kepimpinan YB Fuziah Salleh .  


Siti Aishah turut melahirkan rasa semangatnya untuk kembali seperti dahulu bagi membantu parti menghadapi PRU15.  InsyaAllah, apabila keadaan pandemik Covid semakin reda beliau akan turun ke lapangan bagi membantu parti mendapatkan kembali mandat rakyat yang telah dikhianati.  


WFAUZDIN NS



No comments: