Bentuk jawatankuasa, taktik Muhyiddin lengah sidang Parlimen, kata DAP


Lim Guan Eng berkata, tiada keperluan untuk mengkaji sebaliknya Muhyiddin Yassin perlu mematuhi perintah Agong melaksanakan sidang Parlimen secepat mungkin.

PETALING JAYA: DAP mendakwa jawatankuasa dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang yang dibentuk untuk meneliti aspek penting sebelum sidang Parlimen diadakan adalah taktik Muhyiddin Yassin untuk melambatkan pembukaan Dewan Rakyat.

Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng berkata, langkah itu bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu supaya Parlimen diadakan secepat mungkin.

“Pengumuman Muhyiddin bahawa kerajaan akan membentuk sebuah jawatankuasa untuk mengkaji sama ada Parlimen perlu bersidang adalah tidak masuk akal, tidak bertanggungjawab dan taktik tidak jujur untuk menangguhkan persidangan tersebut sehingga September atau Oktober, bukannya secepat mungkin seperti dititahkan Agong dan Majlis Raja-raja.

“Membentuk jawatankuasa untuk mengkaji sama ada Parlimen perlu bersidang semula secepat mungkin adalah sama seperti membentuk jawatankuasa untuk mengkaji sama ada perdana menteri perlu meletakkan jawatan sedangkan keputusan tersebut terletak di tangan perdana menteri sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata, tiada keperluan untuk mengkaji sebaliknya Muhyiddin perlu mematuhi perintah Agong melaksanakan sidang Parlimen secepat mungkin.

“Jika Muhyiddin tidak bersedia untuk melakukannya, ini menunjukkan dia tidak ikhlas mematuhi titah diraja untuk memanggil semula sidang Parlimen. Muhyiddin terdesak sehingga berani menentang titah diraja, menunjukkan dia sudah tiada keabsahan politik dan kehilangan majoriti Parlimen dalam kalangan Ahli Parlimen,” katanya.

Katanya, Muhyiddin sepatutnya membenarkan Parlimen menentukan jalan keluar daripada krisis yang melanda negara dengan memangggil sidang Dewan Rakyat dan memberi notis 28 hari atau jangka masa lebih pendek mengikut Peraturan Mesyuarat 11 Parlimen.

“Sekiranya Muhyiddin dengan degil menolak untuk berbuat demikian, Ahli Parlimen mungkin tidak mempunyai pilihan selain terpaksa merayu kepada Agong untuk menggunakan kuasa baginda bawah Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat 2021 untuk memanggil semula Parlimen,” katanya.

No comments: