TEMPOH 14 HARI JUGA MENUNJUKKAN UMNO TIDAK BEGITU FAHAM ERTI ‘SEGERA DAN SECEPAT MUNGKIN’

 

UMNO memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan PN pimpinan Mahiaddin Md Yasin untuk membuka langkah mengadakan sidang Parlimen sebagaimana yang disarankan oleh Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Dalam kenyataan selepas mengadakan mesyuarat Biro Politik UMNO, Presidennya Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kegagalan melaksanakan titah Raja-Raja Melayu adalah perbuatan menderhaka serta tidak menghormati institusi Istana.

“UMNO berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Agong dan Raja-Raja berkaitan sidang Parlimen itu dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan ini,” katanya.

Zahid Hamidi seterusnya memberi amaran, sebagai parti yang diasaskan untuk memelihara dan membela institusi Raja-raja Melayu seperti termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, satu mesyuarat khas Majlis Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya jika PN terus berdegil dan berdiam diri.

Meskipun tindakan UMNO ini dikira positif, tetapi masih ramai yang masih melihatnya sebagai satu lagi “silat pulut” daripada Zahid Hamidi.

Soalnya, kenapa masih mahu memberi tempoh 14 hari?

Bukankah titah Agong dan titah Raja-Raja Melayu adalah amat jelas iaitu sidang Parlimen perlu diadakan dengan segera dan secepat mungkin?

Apakah dengan masih memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan PN ia menunjukkan Zahid Hamidi juga tidak begitu faham dengan maksud segera dan secepat mungkin sebagaimana yang telah dititahkan oleh pihak Istana?

Setelah kerajaan PN dan Mahiaddin sudah melengah-lengahkan titah Agong dan titah Raja-Raja Melayu hampir seminggu dengan tidak berbuat apa-apa, diikuti dengan tempoh 14 hari yang diberi oleh UMNO, tidakkah ini memperlihatkan Zahid Hamidi sebenarnya hampir tiada beza dengan Mahiaddin dalam memahami maksud perkataan segera dan secepat mungkin?

Ramai yang merasakan UMNO seharusnya mengambil tindakan lebih pantas dan konkrit dalam perkara ini kerana selama ini sudah terbukti banyak kenyataan oleh kerajaan PN berkaitan pembukaan Parlimen tidak lebih hanya untuk melengah-lengahkan masa saja.

Misalnya, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan pernah mengeluarkan kenyataan pada 5 November 2020 untuk mengkaji cadangan mengadakan sidang Parlimen secara maya, diikuti pada 4 Jun 2021, sekali lagi dengan kenyataan mahu mengkaji juga perlaksanaan sidang Parlimen secara hibrid.

Kedua-dua kenyataan itu akhirnya hanya tersangkut di peringkat kajian dengan langsung tiada apa-apa tindakan, disusuli dengan Mahiaddin pula pada semalam mengeluarkan kenyataan bahawa sidang Parlimen akan diadakan setelah beliau mendapat laporan daripada sebuah jawatankuasa yang diwujudkannya.

Ternampak jelas daripada semua kenyataan selama ini hanya bertujuan untuk melengah-lengahkan masa, sedangkan hakikat sebenarnya kerajaan PN ini tiada keinginan sama sekali untuk membenarkan Parlimen bersidang.

Maka itu, perlukah lagi UMNO terus memberi amaran dan meletakkan tempoh tertentu kepada kerajaan PN dan Mahiaddin untuk memenuhi titah Agong?

Kiranya UMNO benar-benar serius dalam menjunjung titah Agong serta titah Raja-Raja Melayu, sambil dalam masa yang sama menyedari kerajaan PN dan Mahiaddin sebelum ini sudah beberapa kali cuba melengahkan masa, tindakan terbaru memberi tempoh 14 hari bukan saja dikira lambat, malah dibimbangi tidak berkesan.

Tindakan terbaik ialah UMNO sepatutnya segera keluar meninggalkan kerajaan PN bagi membolehkan kerajaan baharu terbentuk dan selepas itu, sudah pasti sidang Parlimen akan diadakan dengan sendirinya.

Dengan demikian, ia bukan saja mampu memperlihatkan UMNO sebagai pembela dan menjunjung institusi Istana, malah juga dapat menyelamatkan nasib rakyat daripada terus sengsara di bawah sebuah kerajaan yang nampaknya tidak begitu peduli dalam membela nasib mereka.

Barulah selepas itu, UMNO lebih berpeluang cerah memenangi banyak kerusi berbanding parti-parti Melayu lainnya. 

(ShahbudinHusin 21/06/2021)



No comments: