JIKA BEGITU, APA KATA MULAI SEKARANG KITA SEMUA BOIKOT SAJA PENGAMBILAN VAKSIN?

 

Ternampak begitu jelas kini Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin terus cuba berdolak-dalik berhubung pembukaan sidang Parlimen.

Desakan rakyat dan suara berterusan pembangkang serta Ahli-Ahli Parlimen pelbagai parti berkaitan perkara itu sejak sekian lama langsung tidak dipedulikannya.

Malah, setelah ada titah Agong pun Mahiaddin masih mahu berdalih-dalih lagi.

Kali ini, katanya, beliau mahu mendapat pandangan sebuah jawatankuasa yang telah dibentuk yang mewakili pihak kerajaan dan pembangkang terlebih dahulu.

“Saya minta jawatankuasa yang dianggotai wakil-wakil kerajaan dan pembangkang untuk nilai perkara berkenaan dan selepas itu barulah mereka maklumkan kepada saya sama ada sudah bersedia atau tidak untuk memulakan sidang Parlimen,” kata Mahiaddin semalam.


Kenyataan Mahiaddin itu bagaimanapun mendapat kecaman ramai kerana ia dilihat langsung tidak munasabah.

Sejak bila mahu membuka Parlimen bagi bersidang perlu ada pandangan daripada sebuah jawatankuasa terlebih dahulu?

Kenapa sebelum ini, termasuk ketika sidang Parlimen membentangkan Belanjawan 2021, walaupun ketika itu ada wabak Covid19 juga, tetapi ia boleh diadakan tanpa perlu menubuhkan apa-apa jawatankuasa?

Malah ketika itu, ada beberapa Ahli Parlimen yang hadir ke Parlimen dengan memakai PPE atau pakaian pelindung diri yang lengkap dan diletakkan tempat duduk yang berasingan, tapi mengapa ia tidak menjadi masalah?

Dalam hal ini, memang benar seperti kata bekas Perdana Menteri, Najib Razak, dengan menubuhkan jawatankuasa sebagaimana disebut Mahiaddin semalam, macamlah ini merupakan kali pertama Parlimen bersidang di negara ini.

Selain itu, Najib juga menyindir jika Parlimen dirasakan tidak selamat untuk 220 Ahli Parlimen bersidang, maka lebih baiklah ia diadakan di kilang-kilang atau tapak pembinaan saja.

Ini kerana, kata Najib, MITI telah mengesahkan banyak kilang dan tapak pembinaan sebagai tempat yang selamat dan bebas daripada Covid19 berikutan sekian banyak kebenaran beroperasi yang diberikan oleh kementerian tersebut.

Apa yang lebih menghairankan lagi di sebalik sikap berdolak-dalik Mahiaddin ini ialah kerana semua Ahli Parlimen juga sudah pun menerima dua dos suntikan vaksin yang bermakna mereka sudah bebas ke sana ke sini dan mempunyai lebih kekebalan daripada ancaman Covid19.

Jadi, apa lagi yang membuatkan Mahiaddin begitu takut untuk membenarkan Parlimen bersidang?

Apakah pengambilan vaksin belum benar-benar menjamin Ahli Parlimen selamat daripada dijangkiti virus Covid19?

Jika begitu, lebih baik batalkan saja pemberian vaksin percuma untuk rakyat yang kosnya menelan belanja sebanyak RM5 bilion ambilan daripada dana KWAN?

Atau lebih munasabah lagi jika rakyat seluruhnya yang mengambil tindakan memboikot saja pengambilan vaksin pemberian kerajaan itu?

Kalau untuk Ahli Parlimen yang peranan mereka pergi ke Parlimen untuk menggubal undang-undang pun menjadikan pengambilan suntikan vaksin seperti langsung tidak berguna, tiada kelebihan dan tiada kekebalan, tentulah vaksin itu lebih tidak berguna lagi untuk rakyat biasa yang urusannya hanya pergi kerja, minum di kedai mamak, jumpa kawan-kawan, balik kampung dan lain-lain yang mana ia tidaklah sepenting peranan Ahli Parlimen terbabit?

Apa kata jom kita semua boikot vaksin secara besar-besaran selagi Parlimen tidak dibuka dengan segera? 

(ShahbudinHusin 21/06/2021)



No comments: