ADA DUIT KAH NAK BAYAR GAJI ?

 


Pengambilan khas guru: Beri keutamaan anak tempatan, kata kesatuan



Presiden Kesatuan Guru Sabah STU, Said Saidi, berkata pihaknya berharap pra-syarat pengambilan khas guru memberikan keutamaan kepada calon lokaliti atau anak jati setempat.

KOTA KINABALU: Kesatuan Guru Sabah (STU) berharap kerajaan akan memberi keutamaan kepada calon tempatan atau anak jati Sabah bagi mengisi tawaran pengambilan khas guru secara “one-off” seperti diumumkan Menteri Pendidikan Radzi Jidin, hari ini.

Presidennya, Said Saidi, berkata ia bagi mengelak berlaku perpindahan guru dan menyebabkan sekolah kehilangan guru berpengalaman serta mengikut opsyen seperti diikuti semasa di institut pengajian guru (IPG) dulu.

“Kami menyokong penuh inisiatif KPM (Kementerian Pendidikan) berkaitan pengambilan khas guru Secara ‘one-off’ bagi menampung kekurangan guru yang telah lama berlarutan terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

“Kekurangan itu juga merujuk kepada keperluan guru mengikut opsyen yang kebanyakan mengajar di sekolah sekarang didapati mengajar tidak mengikut opsyen mereka semasa mengikuti kursus di IPG dulu.

Said Saidi.

“Sehubungan itu, kesatuan berharap agar pra-syarat pengambilan khas guru ini memberikan keutamaan kepada calon lokaliti atau anak jati setempat bagi mengisi tawaran pengambilan ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Radzi berkata KPM akan melaksanakan pengambilan khas guru secara “one-off” seramai 18,702 pendidik, bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri.

Beliau berkata, permohonan pengambilan khas pegawai perkhidmatan pendidikan DG41 itu, akan dibuka mulai 7 Julai untuk membolehkan pendidik ditempatkan secara berperingkat di sekolah masing-masing bermula Oktober depan.

Sementara itu, Said berkata, pihaknya amat mengharapkan pihak berkaitan memberi perhatian terhadap capaian internet di kawasan luar bandar yang masih lagi bermasalah sehingga kini.

Katanya, masalah terbabit memberikan kesukaran kepada guru dan murid di luar bandar untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Selain itu, kami juga berharap lebih banyak kursus peningkatan kemahiran ICT (teknologi komunikasi dan maklumat) serta pendigitalan pendidikan dapat diperluaskan di kalangan guru.

“Ia bagi memperkasakan lagi penyampaian PdPR agar lebih berkesan dan dapat menarik minat murid mengikutinya secara ‘online’ mahupun ‘offline’,” katanya.

No comments: