Uncle Kentang taja pembedahan anjing ‘teman setia’ polis


Keadaan Johnny yang dilanggar kereta baru-baru ini.

PETALING JAYA: Ketika tiga anggota polis mengawal sekatan jalan raya di Kota Tinggi, Johor, tahun lalu, mereka dikejutkan kehadiran seekor anjing liar yang berkeliaran di situ.

Selepas beberapa hari melihatnya masih berkeliaran berhampiran mereka, anggota polis terbabit mula menerima kehadirannya. Tidak lama kemudian, anjing itu yang kini dinamakan Johnny, mula menjadi teman setia mereka.

Anjing yang tetap setia bersama mereka tidak kira hujan atau panas itu lama kelamaan turut terkenal dalam kalangan pegawai lain.

Malangnya, semalam, Johnny mengalami kemalangan selepas dilanggar pacuan empat roda jenis Hilux.

“Anggota polis terbabit menghubungi saya semalam. Mereka hanya konstabel polis biasa, jadi gaji tidak tinggi dan hanya ada beberapa ratus ringgit saja untuk membayar doktor haiwan,” kata Kuan Chee Heng, yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang, kepada FMT.

Bimbang Johnny tidak dapat diselamatkan akibat kecederaannya, polis yang memberi makan dan merawatnya selama ini membawanya ke klinik haiwan terdekat.

Tetapi kerana kecederaannya yang parah, prosedur itu perlu dilakukan di klinik haiwan lain di Johor Bahru, kira kira satu jam dari Kota Tinggi.

Kuan berkata, pembedahan yang diperlukan Johnny mungkin menelan kos hingga ribuan ringgit.

“Tulangnya patah, dan doktor haiwan memberitahu Johnny perlu dihantar ke kemudahan yang lebih baik untuk dibedah. Ia juga mengalami kecederaan di perut.”

“Ini adalah kisah yang cukup menyentuh perasaan saya kerana anggota polis ini adalah orang Melayu, Islam. Mereka sanggup membawa Johnny pulang dan merawatnya, dan bimbang kakinya tidak akan sembuh.”

“Saya beritahu polis itu, jangan bimbang tentang bil, saya akan membayarnya. Mereka adalah hero sebenar hari ini.”

Kuan, yang mengasaskan Community Policing Malaysia (CPM), cukup terkenal kerana kerja amalnya.

Beliau banyak menganjurkan usaha yang bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik, khidmat ambulans murah, penghantaran makanan kepada orang miskin, dan program “Pasar 10 sen”, di mana dia menjual pakaian, peralatan dan buku yang disumbangkan kepada yang memerlukan.

Uncle Kentang juga bakal menerima anugerah Commonwealth Points of Light Award pada 12 Jun ini di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur.