Ampun Tuanku..tolong Tuanku, rakyat susah Tuanku’, rayu lelaki sambil menangis kepada Agong

 

Pemanggil menghubungi Mustapa Mansor Amer Mohd Isa (gambar) sebelum membuat rayuan penuh emosi kepada Agong dan Raja-Raja Melayu.

PETALING JAYA: Rayuan penuh emosi seorang lelaki kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk campur tangan dalam situasi Covid-19 yang semakin buruk di negara ini menjadi tular.

Pemanggil hanya mahu dikenali sebagai Azizi, membuat rayuan melalui panggilan telefon dalam satu sesi YouTube secara langsung yang dihoskan oleh Timbalan Presiden Otai Reformis, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa.

Dalam rayuan itu, Azizi menyatakan kerajaan seolah-olah tidak mampu mengendalikan keadaan semasa Covid-19 yang terus mencatat lonjakan dalam jumlah kes, kematian, dan kluster sejak seminggu lalu.

Katanya, pelaksanaan sekatan penuh ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 hanya akan melumpuhkan perniagaan kerana tidak ada insentif yang diumumkan.

Ketika itulah Azizi mula sebak dan menangis sambil merayu kepada Agong untuk campur tangan.

“Kalu bolehlah, buka baliklah Parlimen. Saya mohonlah Raja-Raja Melayu tengoklah rakyat kat bawah ni, campur tanganlah. Ampun Tuanku..tolong Tuanku, rakyat susah Tuanku.

“Saya susah, saya nak bayar duit kereta pun tak boleh nak bayar, bisnes takde. Macam mana saya nak hidup. Tak ada langsung insentif daripada kerajaan.

“Mohonlah Tuanku, sembilan Raja ni tolonglah buat sesuatu. Sultan ni payung rakyat. Tolonglah, tolong bantu rakyat kat bawah ni. Dengarlah rintihan rakyat kat bawah ni,” rayunya sambil memaklumkan bukan dia saja yang susah malah ramai lagi yang menderita.

Azizi turut merayu semua Sultan untuk bersidang dan berbincang bagaimana untuk membantu mengatasi masalah ini.

Parlimen digantung sejak 12 Januari lalu berikutan pengisytiharan darurat selama lapan bulan untuk menangani wabak Covid-19.

Darurat akan berlangsung sehingga 1 Ogos atau satu tarikh yang lebih awal sekiranya kes Covid-19 berjaya dikurangkan dan stabil.

No comments: