PORT DICKSON, 29 April – Sudah menjadi tugas dan tanggungjawab
kerajaan melaksanakan usia kelayakan mengundi 18 tahun kerana ia diluluskan
Dewan Rakyat lebih satu setengah tahun yang lalu.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu
kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang),
Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa kerajaan akan mengusahakan agar perkara itu
dilaksanakan dalam tempoh terdekat disifatkan sebagai tidak berkaitan.
“Keputusan telah dibuat dan diluluskan lebih satu setengah tahun
yang lalu. Jadi tiada kaitan dengan apa menteri ini (Takiyuddin) ini katakan
kerana arahannya adalah untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan. Kalau
mereka tidak mampu, sepatutnya mereka tidak boleh meneruskan tanggungjawab ini
dan menyerahkan orang lain yang mampu.
“Satu setengah tahun itu masa yang cukup untuk mengendalikan
Undi 18 dan keputusan sebulat suara di Parlimen. Walaupun ada parti sama ada
dia lupa atau tidur masa sidang Parlimen itu kerana perbahasan itu terbuka dan
keputusan itu dipersetujui semua ahli Parlimen,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian
kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Peluncuran Aplikasi Tuisyen
Percuma Port Dickson di Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, dekat sini hari
ini.
Takiyuddin menerusi satu kenyataan hari ini memberitahu,
kerajaan komited melaksanakan umur Kelayaan Pengundi 18 tahun sebagaimana
pindaan kepada peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang
dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada 2019.
Ujarnya, hal berkenaan telah dibincangkan dan disahkan dalam
Mesyuarat Kabinet semalam dan akan diusahakan agar dapat dilaksanakan dalam
tempoh terdekat.
Sementara itu, mengulas mengenai keputusan pemansuhan Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Anwar yang juga Ketua Pembangkang
berpendapat, ia sewajarnya dibahaskan terlebih dahulu di pelbagai peringkat.
Jelas beliau, keputusan Kementerian Pendidikan tersebut
meragukan beliau sama ada mengambil kira kesan jangka pendek dan jangka masa
panjang.
“Pengalaman saya di Kementerian Pendidikan dahulu pun,
keputusan-keputusan begini dibahas secara menyeluruh terlebih dahulu. Kita
panggil wakil ibu bapa, tokoh-tokoh pendidikan dan masyarakat untuk bincang,
perbahasan secara terbuka dengan banyak pihak sebelum kita ambil keputusan.
“Setiap keputusan, melibatkan dasar utama dalam Kementerian
Pendidikan mesti dibahaskan di banyak peringkat. Ini bukan soal menteri dan
beberapa orang pakar, mesti tanya ibu bapa, guru-guru, pakar-pakar pendidikan
dalam pelbagai bidang dan selalunya dibahaskan secara lebih terbuka, kemudian
ambil keputusan, jalanlah,” katanya.