Kamarul senarai tiga pemimpin PH negeri, 12 pemilik akaun FB
sebar ‘wayang opera Cina DAP’
FAZLI RADZI
Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman
Yusoff akan membuat laporan polis secepat mungkin berhubung penyebaran hantaran
di Facebook bertajuk, “Wayang opera Cina DAP sekali lagi?”.
Kolumnis bagi lidah rasmi Pas, Harakahdaily itu mendakwa
penyebaran hantaran Facebook palsu itu berlaku ketika akaun media sosial
sebenar miliknya telah dihukum denda tidak dibenarkan membuat sebarang hantaran
atau komen selama 24 jam.
Walau bagaimanapun, pensyarah kanan di Kolej Undang-Undang,
Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) UUM itu mendapati sebanyak 12
individu telah menyebarkan hantaran tersebut bermula kira-kira jam 4 petang
semalam.
Mereka ialah Che Ibrahim Mohamed, Saila Hadialuz Nazar, Miqdad
Zakaria, Abu Muhammad Ibnu Ismail, Zainal Nor, Lensalog Aidi, Taufik Ali,
Hussin Al Mala’al A’lam, Muhammad Al Hanif Hassan, Mohd Safuan MohdSafuan,
Abdul Manaf Shafie dan Muhammad Radzi Ismail.
Dalam masa sama, Kamarul menerusi kenyataan panjangnya hari ini
turut mengenal pasti tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri
dari ketiga-tiga parti komponen iaitu DAP, AMANAH dan PKR.
Katanya, Naib Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff pada jam 1
pagi tadi telah memuatnaik satu hantaran bagi memberi panduan kepada mana-mana
pihak yang mahu membuat laporan polis ke atasnya atas dakwaan membuat hantaran
yang mempertikaikan Raja Muda Perlis di bawah Seksyen 298A dan Seksyen 504
Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia 1988 (Akta 589).
Kamarul juga berkata, Ketua AMANAH Bahagian Ledang, Azhar Ismail
telah memuatnaik satu hantaran pada jam 2 petang tadi memaklumkan telah membuat
laporan polis terhadapnya berdasarkan panduan yang diberi oleh Zulhazmi selain
berkongsikan hantaran peguam itu.
Tambahnya, Ketua AMK Cabang Padang Besar, Amar Abd Jalil turut
memuatnaik dua hantaran bagi memaklumkan akan dan telah membuat laporan polis
terhadapnya juga berdasarkan panduan yang diberi oleh Zulhazmi.
“Ekoran fitnah besar ke atas saya ini, saya, keluarga saya dan
institusi tempat saya bekerja, iaitu Universiti Utara Malaysia, telah
bertubi-tubi dikecam, dihina dan dimaki oleh pelbagai pihak sehingga
menimbulkan gangguan keselamatan kepada kami.
“Saya berpendapat bahawa kesemua mereka yang telah membuat dan
menyebarkan posting Facebook palsu saya yang bertajuk “Wayang opera Cina DAP
sekali lagi?” serta mereka yang telah menggesa, membantu dan membuat laporan
polis ke atas saya berdasarkan posting Facebook palsu saya ini telah melakukan
jenayah yang serius,” kata Kamarul lagi.