\
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir semalam, membuat aduan
rasmi kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berkenaan dakwaan Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT) mengeluarkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) PR1MA
Residensi Tebrau ketika kerja pembinaan masih belum selesai
"Saya selaku Ahli Parlimen Johor Bahru telah kemukakan aduan rasmi pada jam 11 pagi pada 29 April 2021 kepada MBJB
"Ini adalah berkenaan pelanggaran pengeluaran Sijil Penyiapan dan Pematuhan PR1MA Residensi Tebrau ketika kerja pembinaan masih belum selesai termasuk yang melibatkan pelan retikulasi, iaitu penyambungan bekalan air utama," kata Akmal dalam satu kenyataan.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN itu juga melontarkan persoalan, mendakwa sama ada Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan campurtangan dalam hal berkenaan memandangkan pertemuan Menteri, pemaju PR1MA dan wakil-wakil pembeli di Putrajaya berlaku pada 8 April lalu, iaitu selepas tarikh CCC dikeluarkan pada 31 Mac 2021.
"Aduan ini dibuat berdasarkan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang menyebut bahawa PBT boleh mengambil tindakan sekiranya PBT mendapati terdapat perakuan palsu atau ketidakpatuhan dalam pengeluaran CCC tersebut.
"Saya hadir sendiri ke bangunan MBJB bertujuan membela nasib dan hak ribuan pembeli rumah PR1MA," katanya.
Sehubugan itu, Akmal berpendapat rumah PR1MA Residensi Tebrau perlu disiapkan dengan sempurna, mengikut pelan agar tidak timbul kejadian tidak diingini di kemudian hari.
Pihak yang berkenaan perlu bertanggungjawab dan dikenakan tindakan tegas sekiranya benar berlaku pelanggaran dalam pengeluaran CCC ini.
"Pemaju juga perlu membayar LAD (denda lewat siap) penuh sehingga tarikh selagi mana kerja pembinaan masih belum siap.
"Kita tidak mahu ketidakpatuhan pengeluaran CCC berulang untuk projek-projek PR1MA seterusnya mahupun projek perumahan mampu milik yang lain," katanya lagi.
Malah menurut Akmal, berdasarkan panduan KPKT, PBT boleh memajukan kes tersebut kepada Lembaga Arkitek Malaysia atau Lembaga Jurutera Malaysia untuk tindakan di bawah Akta Arkitek 1967 (Akta 117) dan Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta 138). PBT juga, katanya, boleh merujuk kepada JPN supaya tindakan boleh diambil ke atas Pemaju di bawah Akta 118.
Bantahan Akmal diterima oleh Setiausaha MBJB, Miswan Yunus mewakili Datuk Bandar. Turut bersama adalah Ir Nazatul Shima, Timbalan Setiausaha MBJB, serta Salleh Ahmad, Penyelaras DUN Larkin.