PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak menggesa kerajaan mengabaikan kenyataan dua menteri Kabinet yang disifatkan ‘tak guna’, sebaliknya menilai semula risiko Covid bagi sektor pendidikan untuk mengelak ‘malapetaka besar.’
“Saya amat tidak selesa dengan jumlah kluster baharu yang dikesan setiap hari terutamanya kluster dari sektor pendidikan.
“Sebelum ini, kerajaan kata lebih 23,000 murid di bawah umur 12 tahun sudah dijangkit pada tahun 2021 setakat ini dan ini membuktikan betapa mudahnya kes ditularkan di sekolah akibat pergaulan,” katanya di Facebook.
Menurutnya, masalah utama adalah apabila murid dan remaja kurang terkesan dengan Covid-19 walaupun positif, namun tanpa disedari masih boleh menjangkiti orang lain yang lebih berkemungkinan jatuh sakit.
Katanya, di negara lain, sekolah antara paling lewat dibuka semula bila sekatan pergerakan dilaksanakan, sebaliknya di Malaysia pula, sekolah antara paling awal dibuka semula selepas PKP2.0 dilaksanakan.
“Sebab itu, saya mohon kerajaan menilai semula risiko Covid bagi sektor pendidikan. Jika tidak dibuat, mungkin ianya mampu membawa malapetaka yang amat besar.
“Adakah tiada siapa dalam kerajaan yang sedar dengan kemungkinan ini?
“Sila abaikan kenyataan dua orang menteri PN tak guna itu yang kata sekolah akan diteruskan serta suruh ibu bapa jangan risau sebab KPM ada cara tangani Kluster Pendidikan,” katanya tanpa menamakan orang yang dimaksudkan itu.
Selain itu, Najib turut menggesa kerajaan menambah dan mempercepatkan pemberian 150,000 unit peranti kepada golongan B40 sebagai persedian awal sekiranya sekolah ditutup semula dan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dilaksanakan.
“Jangan tunggu sehingga akhir bulan September untuk diagihkan seperti diumum kerajaan,” katanya.