‘Masih ada kerja perlu dibuat’ sebelum tarik sekatan ke atas Top Glove, kata agensi AS


Top Glove Corp berkata, ia memenuhi semua syarat ILO berhubung buruh paksa. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) berkata, ia belum mengesahkan sama ada Top Glove Corp mengatasi semua 11 petunjuk Pertubuhan Buruh Sedunia (ILO) berhubung buruh paksa sebelum ia menarik balik perintah sekatan terhadap produk syarikat berkenaan.

Pada Isnin, syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu berkata, 11 petunjuk ILO telah ditangani.

Katanya, perkara itu ditentusahkan oleh Impactt, sebuah juruperunding bebas yang berpangkalan di United Kingdom dan diupah bagi memantau usahanya untuk menghapuskan buruh paksa.

Pengarah urusan Top Glove Lee Kim Meow sebelum ini berkata, ia akan berhubung dengan CBP untuk menarik balik perintah sekatan terhadap produknya sebaik sahaja isu 11 petunjuk itu diatasi.

Bagaimanapun CBP memberitahu FMT bahawa masih ada kerja yang perlu dilakukan sebelum produk Top Glove dibenar masuk ke AS sekali lagi.

Dengan menyebut bahawa audit pematuhan sosial Impactt dibuat secara berasingan daripada CBP, jurucakap agensi itu berkata, “ia akan terus menilai maklumat yang dikemukakan oleh Top Glove bagi menyokong petisyennya untuk mengubah dapatan berkait buruh paksa bulan lepas yang menyaksikan sarung tangan pakai buang syarikat itu disita di semua pelabuhan masuk AS.”

“CBP secara bebas mengesahkan semua maklumat yang dikemukakan bagi menyokong petisyen untuk mengubah atau membatalkan perintah sekatan dan dapatan buruh paksa,” kata jurucakap berkenaan dalam emel.

“CBP tidak akan mengubah atau membatalkan perintah sekatan atau dapatan buruh paksa sehingga semua petunjuk buruh paksa yang dikenal pasti oleh agensi itu ditangani.”

Jurucakap itu berkata, semua audit pematuhan sosial “adalah berguna” sekiranya ia dibuat secara bebas dan dengan tujuan mengenal pasti kekurangan dan risiko serta akses kepada kemudahan, rekod dan kakitangan tanpa campur tangan pegawai penyelia adalah penting bagi menjamin taksiran tepat sama ada petunjuk buruh paksa masih wujud.

“Audit pihak ketiga yang tidak dimaklumkan boleh menyediakan keterangan penting bagi menyokong petisyen untuk mengubah atau membatalkan perintah sekatan atau dapatan buruh paksa,” kata emel itu lagi.

“Bagaimanapun CBP akan menyemak semua maklumat yang tersedia apabila menilai petisyen sedemikian.”

Pada Julai tahun lepas, CBP mengeluarkan perintah sekatan ke atas dua anak syarikat Top Glove selepas berkata, ia mempunyai maklumat yang munasabah tetapi tidak konklusif, yang menunjukkan syarikat terbabit mengeluarkan produk dengan menggunakan buruh paksa.

Top Glove melancarkan petisyen terhadap perintah itu.

Bulan lepas, CBP mengarahkan kakitangan di semua pelabuhan masuk AS supaya merampas semua sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan oleh syarikat itu selepas “maklumat yang mencukupi” yang menunjukkan ia menggunakan buruh paksa dalam pengeluaran sarung tangan pakai buang di Malaysia mencetuskan dapatan buruh paksa.

Dalam laporan awal minggu ini, Impactt menyatakan pendapatnya bahawa Top Glove telah menghapuskan “semua petunjuk amalan buruh paksa sistematik” selepas mengatasi lima baki petunjuk itu setakat bulan ini, iaitu memegang dokumen pengenalan diri, tipu daya, ikatan hutang, keganasan seksual dan fizikal serta intimidasi.

Top Glove membayar RM150 juta kepada pekerjanya sebagai rundingan semula fi pengambilan dan melabur kira-kira RM300 untuk tempat penginapan pekerja.



No comments: