Tukar status Sabah Sarawak, ikhlas atau PN sekadar mahu raih undi?

 

untitled image


Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Sabah, Razeef Rakimin menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjelaskan niat di sebalik menukar status negeri Sabah dan Sarawak kepada wilayah.

Beliau berpendapat, walaupun pertukaran status Sabah daripada negeri ke wilayah sememangnya dinantikan oleh anak jati negeri itu, namun, persoalan timbul sama ada pertukaran itu akan membawa impak positif kepada negeri ini seperti memberikan hak milik petroleum dan hasil bumi.

"Sebagai anak Sabah, ini yang kita nantikan sejak dahulu. Namun kita juga ingin tahu, apakah keistimewaan di sebalik pertukaran status Sabah kepada wilayah ini?

"Adakah Sabah mendapat semula hak petroleum, hasil bumi, pelancongan dan sebagainya sebagai mana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)?" katanya.

Justeru, Razeef meminta status Sabah dan Sarawak tidak dijadikan gimik politik semata-mata mahu meraih perhatian rakyat Sabah dan Sarawak.

"Ataupun ia sekadar menukar nama, daripada negeri kepada wilayah sekadar untuk memancing orang Sabah dan Sarawak untuk menyokong PN.

"Isu status Sabah ini sangat-sangat sensitif... ia boleh menyatukan kita, boleh juga memecah belahkan kita," katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan pertukaran status tersebut bagaimanapun tidak menyebut mengenai pindaan kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

No comments: