MENTERI NIKAH KAHWIN’ TERLALU KERAP TERPALIT KONTROVERSI, APA KATA DITUKAR JAGA ALAM SEKITAR PULA?



Apabila sejak semalam tular video mengenai Dr. Zulkifli Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab berkaitan hal ehwal agama bersama beberapa individu yang lain menaiki jet mewah, khabarnya untuk penerbangan dari Riyadh ke Madinah, meski mengejutkan, tetapi ia tidaklah begitu menghairankan.


Ini kerana beliau sebenarnya sudah begitu kerap terpalit dengan kontroversi yang tidak diperlukan atas jawatannya sekarang ini sejak lebih setahun yang lalu.


Harapan ramai bahawa kedudukannya sebagai bekas Mufti Wilayah Persekutuan, sekurang-kurangnya negara mendapat menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama yang terbaik dan lebih baik daripada penyandang sebelum ini, ternyata telah jauh meleset.


Kesangsian ramai di peringkat awal mengenai kesediaannya sebagai bekas mufti bersekongkol dengan sebuah kerajaan pengkhianat untuk menerima jawatan menteri, semakin terserlah kebenaran akhirnya.


Beliau dilihat bukan berperanan untuk memperbaiki atau berani menegur apa-apa yang tidak betul dalam kerajaan, malah ternampak seperti sama terjerumus bergelumang dengannya.


Kelibatnya yang dikesan beberapa kali melanggar SOP PKP dengan mengabaikan penjarakan sosial dan menikahkan selebriti Neelofa sehingga beliau digelar “menteri nikah kahwin” seperti dalam filem Musang Berjanggut, hakikatnya telah merosakkan sama sekali reputasinya.


Tugas sebagai menteri ialah memikirkan soal dasar kerajaan, bukan sibuk mengejar glamour menikahkan selebriti atau sama degil melanggar peraturan seolah-olah kedudukan menteri ada kelebihan.


Lebih malang, dalam kejadian lebih daripada sekali didapati melanggar SOP, beliau hanya membisu saja, jauh sekali untuk memohon maaf atau sedia membayar kompaunnya.


Itu belum termasuk lagi sikapnya yang turut diam atau lambat bersuara berkaitan beberapa isu lain seperti darurat, kartel daging dan sebagainya.


Sempena sambutan Hari Raya Cina baru-baru ini, beliau juga dikesan memakai jubah berwarna merah seolah-olah meraikan sambutan tersebut.


Soalnya, perlukah sampai ke tahap itu seorang menteri agama menunjukkan perilakunya?


Dengan beberapa kejadian itu sehingga ada yang berkata, apalah malangnya kita rakyat yang tidak berdosa ini dapat menteri yang menjaga hal ehwal agama yang tak habis-habis diselubungi kontroversi.


Lebih malang lagi kerana beliau adalah bekas mufti, sekurang-kurangnya tentulah lebih arif untuk menghindarkan diri daripada perkara-perkara yang boleh mencemarkan namanya sendiri.


Kalau orang biasa yang tidak pernah jadi mufti, tiada pula asas agama yang kuat dalam diri, kalau terpalit dengan kontroversi demi kontroversi bersama jawatan yang lumayan, mungkinlah ia tidak begitu menghairankan.


Tetapi, yang peliknya ramai pula menteri-menteri lain yang dilihat pandai menjaga diri mengelakkan daripada kontroversi, walau tiada asas agama yang kuat dalam diri mereka itu.


Jadi, benarkah apa yang dikata selama ini ilmu agama itu adalah pelindung kepada watak peribadi?


Meskipun Dr. Zulkifli kemudian tampil menjelaskan jet tersebut adalah pemberian Gabernor Madinah untuk membawanya terbang dari Riyadh ke Madinah, di samping lawatannya ke Arab Saudi juga ditaja sepenuhnya oleh Liga Islam Dunia atau MWL, beberapa persoalan lain masih memerlukan jawapan.


Siapakah lagi ahli rombongan yang ikut bersamanya dalam lawatan itu?


Adakah mereka itu pegawai Jakim, petugas Tabung Haji atau sebahagian mereka yang lain itu sebenarnya adalah kalangan yang terlibat dalam bisnes haji dan umrah?


Kalau bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa memaklumkan lawatannya ke Arab Saudi ketika memegang jawatan menteri sebelum ini hanya membawa dua pegawai dan Pengerusi Tabung Haji saja bersamanya, apa perlunya Dr. Zulkifli pergi dengan membawa satu rombongan?


Adakah ahli rombongan yang ikut bersamanya itu ditaja juga?


Kalau mengikut suara seorang wanita yang kedengaran bercakap dengan isteri Dr. Zulkifli dalam video itu, nampak seperti mereka memang menumpang saja.


Apa pun, dengan beberapa kontroversi yang terpalit dengannya, Dr. Zulkifli kini boleh dianggap suatu beban kepada kerajaan PN.


Tiada apa-apa pembaharuan, sumbangan atau peranan membanggakan telah dimainkannya sejak setahun lalu.


Harapan ramai bahawa kedudukannya sebagai bekas mufti mampu menyumbang sesuatu yang lebih bermakna dan meyakinkan kepada agama dan negara, bukan saja telah meleset, bahkan dikira sudah pun jahanam sekarang ini.


Untuk itu, sebelum terpalit lebih banyak kontroversi, ada baiknya jika Mahiaddin Md Yasin segera bertindak menukarkan Dr Zulkifli daripada portfolio agama yang disandangnya sekarang.


Apa kata beliau dijadikan Menteri Alam Sekitar dan Tuan Ibrahim Tuan Man pula diberi amanah mengendalikan portfolio agama?

 (Shahbudindotcom 14/04/2021)