NEGARA TIADA WANG ADALAH PENGAKUAN MAHIADDIN TENTANG KEGAGALANNYA SENDIRI

 


Akhirnya Mahiaddin Md Yasin mengakui kerajaan PN pimpinanya tidak ada banyak wang lagi untuk berbelanja.

Katanya, kerajaan telah membelanjakan banyak wang iaitu sebanyak RM600 bilion untuk Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan yang telah diumumkan.

“Sudah banyak kita belanjakan wang untuk tahun ini dan pada tahun lepas.

“Apa yang saya cuba nak sampaikan di sini, kita tak banyak wang lagi yang tinggal,” katanya dalam perjumpaan dengan masyarakat Sikh semalam.

Dalam erti kata lain, pengakuan Mahiaddin ini secara tidak langsung menyerlahkan kegagalannya sendiri sebagai Perdana Menteri.

Apabila seorang CEO mengatakan syarikat yang diterajuinya tidak ada banyak wang lagi, ia dengan sendirinya bermakna CEO tersebut mengakui kegagalannya membawa masuk projek-projek baru yang boleh menjana kewangan.

Dengan yang demikian, sebelum langkah mengecil atau membuang kakitangan dilakukan, CEO berkenaan dari segi moralnya, haruslah lebih dulu meletak jawatan.

CEO yang gagal memajukan syarikat dan tidak mahu berhenti di sebalik terus dihimpit ketiadaan wang, lebih memungkinkan syarikat jadi bankrap akhirnya.

Dalam mengurus negara, jika seorang Perdana Menteri itu ada rasa malu, sebelum mengakui negara sudah tiada wang, lebih terpuji sebenarnya jika beliau lebih dulu meletakkan jawatannya.


Ini kerana, dengan menyedari negara sudah tiada wang, itulah kegagalan terbesar seorang Perdana Menteri sebenarnya

Apa yang beliau telah lakukan untuk memaju dan menambah kewangan negara selama ini?

Sejak lebih setahun yang lalu, negara yang dipimpin oleh sebuah kerajaan melalui pengkhianatan ini, yang terserlah hanyalah kegagalan demi kegagalan semata-mata.

Tidak ada apa-apa kejayaan di sebalik mempunyai kabinet terbesar, termasuk beberapa duta bertaraf menteri yang “menghabiskan beras” belaka.

Kalau ada pun yang menjadi kebanggaan sehingga menjadi tarikan dalam TV Turki ialah adanya seorang timbalan menteri yang tertidur lena dalam sebuah acara rasmi dua tiga hari yang lalu.

Di dalam negara, selain majoritinya sendiri dipertikai dan sokongan makin menyusut, lawatan Mahiaddin ke beberapa negara luar pula langsung tidak memberi impak yang kedudukannya tampak dihormati, jauh sekali mampu menarik pelaburan asing ke negara ini.

Sejak awal, Mahiaddin memang disedari bukanlah sosok yang ditanggapi sesuai dan layak untuk menerajui negara, apatah lagi dalam suasana kritikal seperti sekarang ini.

Rekodnya sebagai menteri dan menerajui kementerian pun selama ini hanya sekadar biasa-biasa saja dan tidak pernah ada apa-apa idea cemerlang yang pernah dilontarkannya sehingga membuatkan negara bergegar dibuatnya.

Apa lagi sejak memegang jawatan Perdana Menteri ini, jangankan ada idea luar biasa atau ternampak beliau berbuat sesuatu yang mampu melonjakkan taraf negara, nak berhadapan atau bersoal jawab dengan media pun beliau tiada keberanian menghadapinya.

Asyik-asyik dengan perutusan khas dan bercakap sehala dengan syok sendirinya saja yang mampu dilakukannya.

Ketidakberanian berhadapan dengan media itu, sudah tentu lebih tidak berani dengan media antarabangsa, adalah gambaran dalaman bahawa Mahiaddin sendiri sebenarnya sedar tentang ketidakupayaan dirinya itu.

Yang ada dalam dirinya hanyalah keegoan sebagai Perdana Menteri saja.

Sebab itu, di ketika mengakui negara sudah tiada wang, di samping keabsahannya dipertikaikan pula sejak sekian lama, beliau tetap tidak mahu meletakkan jawatannya kerana egonya itu.

Apa jadi akhirnya pada kita semua?

Mahu tidak mahu, makin lama kita berketuakan seseorang yang tiada keupayaan ini, negara lebih menuju kemusnahan dan rakyat terus dibebani dengan derita.

Walhal, setelah menjadi Perdana Menteri yang paling dikecam, dipertikai dan ditolak, berundur dan meletakkan jawatan sekarang inilah peluang terakhirnya untuk mendapat sedikit sanjungan di penghujung kariernya.

Apakah ini bermakna Mahiaddin memang ingin dijatuhkan dan suka kedudukanya terus tiada penghormatan selama-lamanya? 


(Shahbudindotcom 13/04/2021)






No comments: