MALU APA BOSSKU.......RM42 juta dalam akaun Najib ‘wang rasuah’, kata pendakwa

 

Pendakwa ad hoc, V Sithambaram, berkata RM42 juta itu masih “wang rasuah” sekalipun diambil secara berperingkat.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan diberitahu, Najib Razak menerima “wang rasuah” berjumlah RM42 juta, iaitu sebahagian pinjaman RM4 bilion daripada dana persaraan kerajaan yang diluluskan kepada SRC International Sdn Bhd oleh kerajaannya, tiga tahun sebelumnya.

Pendakwa ad hoc, V Sithambaram, berkata perkara menghairankan adalah bekas perdana menteri itu tidak terus mengambil RM42 juta selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet untuk meluluskan jaminan kerajaan bagi pinjaman terbabit.

“Dalam semua kes lain, seorang tertuduh akan mengambil wang rasuah itu secepat mungkin,” katanya dalam hujahannya ketika prosiding rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman bagi tuduhan rasuah melibatkan dana SRC International.

Sithambaram, yang diberikan izin khas oleh Peguam Negara untuk menjalankan pendakwaan berkenaan, menegaskan, RM42 juta itu masih “wang rasuah” sekalipun diambil secara berperingkat.

Berdasarkan dua jaminan kerajaan, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) memberikan pinjaman itu pada 2011 dan 2012 kepada SRC untuk melaksana dan melabur dalam projek yang dikaitkan dengan sumber tenaga konvensyenal dan boleh diperbaharui, sumber asli dan mineral.

Antara Disember 2014 dan Februari 2015, RM42 juta dalam dana SRC dipindahkan ke Gandingan Mentari Sdn Bhd, anak syarikat SRC.

Wang itu kemudian dipindahkan ke Ihsan Perdana Sdn Bhd dan akhirnya akaun Najib di Ambank.

“Wang itu dipindahkan menerusi beberapa lapisan proses. Tertuduh mengetahui RM42 juta itu daripada SRC,” kata Sithambaram, dengan menambah Najib mempunyai kepentingan ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet (pada 2011 dan 2012).

Sithambaram berkata, pendakwaan hanya dapat merangka tuduhan untuk RM42 juta itu kerana itulah wang yang akhirnya didepositkan ke akaun Najib.

“Lagipun RM42 juta itu sekadar ‘kacang’ berbanding RM2.6 bilion yang pernah dimilikinya,” kata peguam itu merujuk kepada jumlah wang besar dikatakan dihantar semula kepada penderma Arab pada 2013.

Sithambaram berkata, Najib mampu memindahkan wang itu kerana beliau bukan saja mengawal SRC malah juga dana persaraan berkenaan dalam kapasitinya sebagai menteri kewangan.

Katanya, Najib membuat SRC seperti syarikat peribadinya malah menganggapnya “mesin juruwang automatik” (ATM) untuk mengeluarkan wang dan memasukkan ke akaunnya.

“Orangnya juga terlibat dalam pemindahan wang ke akaunnya,” tambahnya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman RM4 bilion SRC International daripada KWAP.

Beliau juga menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan RM42 juta milik SRC International yang juga bekas unit 1MDB.

Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan rasuah berkaitan RM42 juta milik SRC International.

Perbicaraan bersambung.




No comments: