JAWAPAN KETUA KOMUNIKASI NASIONAL GERAK98 KEPADA YB KHALID SAMAD - BENARKAH JASA MAHATHIR PUNCA KEMENANGAN PH?




Undi Melayu Semenanjung

PRU2018 BN 46.29% PAS 28.14% PH 25.47%

PRU2013 BN 63.30% PR 36.70%


Tinggalkan dahulu statistik di atas. Tetapi perlu dijelaskan bahawa ketika berdepan Pilihanraya Umum Ke-14 yang lalu, pembangkang berpecah kepada dua koalisi, satu Pakatan Harapan dan satu lagi Gagasan Sejahtera (PAS), maka sebenarnya tiada "Grand Coalition" waktu itu seperti dakwaan Khalid Samad.


Selepas Pilihanraya Umum Ke-13, Muhyiddin Yassin yang ketika itu masih Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN pernah menyatakan, andai kata dalam Pilihanraya Umum Ke-13 yang baharu usai itu, 2 peratus lagi undi lari dari BN, maka BN kalah! Ruyup! Ingat, pencapaian Pakatan Rakyat ini ketika itu dicapai tanpa ada Dr. Mahathir bin Mohamad di barisan hadapan, bahkan Mahathirlah antara musuh yang dilawan.


Andaikan 2 peratus itu adalah pemboleh-ubah malar (tidak berubah) dalam peningkatan pengundi baharu dan pembentukan pakatan pembangkang baharu (Pakatan Harapan) memasuki Pilihanraya Umum Ke-14. BN dari melawan Pakatan Rakyat sebelumnya, dalam Pilihanraya Umum Ke-14 terpaksa melawan Pakatan Harapan dan Gagasan Sejahtera (PAS). Jika 2 peratus yang malar itulah yang beralih kepada Pakatan Harapan dan seterusnya menjadi sebab kemenangan bersejarah Pakatan Harapan pada 9 Mei 2018, apakah penyebabnya? Betulkah dakwaan Khalid bahawa sebabnya ialah kerana gabungan dengan Mahathir? Tetapi bagi penyokong Rafizi Ramli, mereka akan kata ini jasa Rafizi dan Invoke. Atau apakah ia kerana pertembungan tiga penjuru? Atau sememangnya kerana kesedaran rakyat secara keseluruhan untuk menolak BN ketika itu akibat dari ledakan maklumat dan meluasnya akses kepada media sosial? "Mood" menolak BN ini ialah "mood" nasional ketika itu, bahkan di Terengganu rakyatnya hampir mutlak menolak BN, tetapi di sana rakyat menolak BN dengan memilih PAS, mungkin kerana Pakatan Harapan di Terengganu dilihat lemah berbanding dengan BN dan PAS. Terengganu, sebuah negeri dengan majoriti besarnya orang Melayu jelas tidak mengendahkan Mahathir, walaupun Mahathir turun berkempen di sana.


Itu di Terengganu, di peringkat nasional, kalaulah kita cuba menerima bahawa semua yang saya katakan di atas adalah sebab yang menyumbang kepada peralihan undi kepada Pakatan Harapan dan seterusnya memenangkan Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Umum Ke-14 yang lalu, maka dari 2 peratus itu sebesar mana sumbangan Mahathir? Dan jangan pula lupa soal 49 peratus yang asal dan siapa penyumbangnya, faktor Anwar Ibrahim mahu letak di mana?


Saya pelik, apa tujuan Khalid Samad membawa sampel data keputusan Pilihanraya Umum Ke-14 di beberapa kerusi dan dibandingkan dengan keputusan di kerusi yang sama dalam Pilihanraya Umum Ke-13. Apa yang Khalid mahu tunjukkan dengan pertambahan undi itu? Tetapi bila dia bercerita tentang kerusi Pandan yang dimenangi oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail dan mewajarkan pertambahan undi di situ kerana kerjasama baik Kak Wan dengan Mahathirlah penyebabnya, lebih tepat Khalid maksudkan Mahathirlah yang menyebabkan pertambahan undi tersebut, maka saya memahami. Apa bukti dan dalilnya? Apakah Khalid lupa bahawa Pilihanraya Umum Ke-13 adalah pertembungan dua penjuru, sedangkan Pilihanraya Umum Ke-14 pula tiga penjuru. Apakah tidak mungkin pertembungan tiga penjuru itulah yang menyumbang pertambahan undi kepada Kak Wan? Jangan lupa pertambahan pengundi-pengundi baharu di kawasan-kawasan yang beliau nyatakan itu juga membantu. Tidakkah Khalid nampak bahawa dalam perlawanan tiga penjuru, bila wujud penjuru ketiga yang membawa naratif Melayu/Islam (PAS dalam Pilihanraya Umum Ke-14, Pejuang dalam Pilihanraya Umum Ke-15) sama seperti penjuru pertama (BN dalam Pilihanraya Umum Ke-14, PN dalam Pilihanraya Umum Ke-15) maka kelebihan bersaing dan kelebihan berbanding akan ada di pihak Pakatan Harapan? (Harus diingat, naratif Melayu/Islam ini cumalah permainan politik, bukan naratif perjuangan)


Khalid sekali lagi membela Mahathir bila membawa kes Pilihanraya Kecil Slim River dalam tulisannya, padahal Slim River jelas memberitahu bahawa Mahathir gagal menarik sokongan pengundi Melayu terhadapnya. Tidak perlu pun sebenarnya untuk kita mengambil rekod Pilihanraya Kecil Slim River bagi membuktikan bahawa Mahathir gagal menarik sokongan pengundi Melayu, sekaligus membuktikan bahawa bukanlah kerana sokongan pengundi Melayu yang dibawa dia yang memungkinkan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Umum Ke-14. Cukup dengan rekod pencapaian Mahathir semasa memimpin Parti Pribumi BERSATU Malaysia ketika menghadapi Pilihanraya Umum Ke-14 tersebut. Bersatu sebagai sebahagian dari Pakatan Harapan ketika itu bertanding 52 kerusi parlimen (kerusi majoriti Melayu) dan cuma menang 13 daripadanya, cuma memperoleh 5.95% undi dari undi keseluruhan atau 11.88% dari undi Pakatan Harapan. Secara matematik, ia nyata satu kegagalan, kegagalan dari satu parti pimpinan Mahathir yang dia dakwa dan didakwa Khalid Samad juga, sebagai parti yang berjasa menarik sokongan Melayu kepada Pakatan Harapan. Kuatnya pembelaan Khalid pada Mahathir, sampai saya tertanya-tanya, dia ini Pengarah Komunikasi Amanah atau Pejuang?


Maka berbalik kita kepada statistik yang saya paparkan mula-mula tadi. Data ini saya perolehi dari seorang yang membuat analisis sokongan Melayu terhadap parti politik dalam Pilihanraya Umum Ke-14 dan Ke-13 di Semenanjung Malaysia. Kita lihat dalam Pilihanraya Umum Ke-14 Pakatan Harapan hanya mendapat 25.47% undi Melayu, berbanding 36.7% (peratus nasional dalam 35%) oleh Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum Ke-13. Di mana logik akan terdesaknya keperluan bergabung semula dengan Mahathir atas nama "Grand Coalition" kononnya untuk menarik tambahan sokongan Melayu? Data tidak menunjukkan sebegitu. Memang berlaku penurunan undi Melayu terhadap BN ketika itu, dari 63.3% dalam Pilihanraya Umum Ke-13 jatuh kepada 46.29% dalam Pilihanraya Umum Ke-14. Apakah Mahathir yang berjasa merampas beza peratus kejatuhan sokongan Melayu terhadap BN itu? Tidak Khalid Samad... Ia berlaku kerana pertamanya sikap nekad sebahagian pengundi Melayu menolak BN, kedua tentulah kerana pertembungan tiga penjuru, sebahagian besar undi Melayu BN yang hilang berada dengan PAS sekarang, bukan Pakatan Harapan! Bukan Mahathir, bukan Pejuang, apalagi Amanah. Bukan saya kata, tetapi statistik menunjukkan begitu.


Khalid Samad, "Grand Coalition" bukan satu-satunya jawapan kepada usaha mengambil-alih semula kerajaan. Sudah-sudahlah bermain dengan peribahasa, menang sorak kampung tergadai konon! Hakikatnya, kita memang menang sorak pada 9 Mei 2018, selepas 22 bulan siapa pula yang menggadai kampung/daerah kemenangan itu? Kalau bukan orang yang bernama Mahathir?


Saya tidak nafikan, kalau kita bodohkan diri kita sekali lagi, kita punah-ranahkan maruah kita sekali lagi dengan mengambil semula Mahathir dan rakan-rakannya menyertai "Grand Coalition" yang Khalid Samad idam-idamkan, kita mungkin berpeluang mengambil-alih kembali kerajaan, kembali menang. Cuma saya mahu bertanya Khalid Samad, puluhan tahun kita berjuang untuk apa? Untuk menang? Menang pula untuk apa? Saya jawab, menang untuk perjuangan. Lalu kalau selepas menang kita gagal mendedikasikan kemenangan itu untuk sebuah perjuangan, idea-ideanya, gagasan-gagasannya, cita-cita perubahannya, maka kemenangan itu bukanlah kemenangan berjuang.


Kemenangan berjuang tidak datang dengan pimpinan setahun dua Mahathir bersama Pakatan Harapan, ia usaha puluhan tahun mengajar dan menyedar rakyat, pertamanya tentang keberanian berubah, berilah penghargaan kepada mereka yang sepatutnya dihargai. 22 bulan memerintah Mahathir telah membuktikan dia bukan kawan, dia bukan kawan berjuang, bahkan dia adalah tukang sailang, sailang melalui huluran salam. Dia sailang perjuangan kerana dia anti perubahan, anti reformasi, anti Anwar Ibrahim. Dia penganut orde lama yang totok! Benarkah Khalid Samad kata Pakatan Harapan sepatutnya kalah dalam Pilihanraya Umum Ke-14 lalu? Memang kalah, perjuangan puluhan tahun itu yang kalah, kemenangan itu ada kekalahan kepada lakonan seorang Mahathir, lebih teruk bila sampai hari ini masih ada yang percaya akan lakonan itu.


Zukri Aksah 

Ketua Komunikasi Nasional

Gerakan Reformasi 98 - GERAK 98



No comments: